SHAH ALAM : Selepas menerima kata dua daripada perwakilan DAP Selangor,
Menteri Besar Mohamed Azmin Ali hari ini sekali lagi didesak parti itu
untuk mengiktiraf kedudukan kerajaan Pakatan Harapan Selangor.
ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San berkata kerajaan negeri kini dipimpin
oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) meskipun kerajaan negeri
masih mengiktiraf PAS sebagai sebahagian daripada mereka.
"Satu fakta yang harus diterima ialah kerajaan Selangor sekarang dipimpin oleh PKR, Amanah, DAP dan PAS.
"PKR, DAP dan Amanah pula bergabung di bawah Pakatan Harapan. Oleh itu,
MB perlu tegas bahawa kerajaan Selangor sekarang bernama kerajaan
Pakatan Harapan," katanya kepada pemberita di sidang media di Lobi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Bukan itu sahaja Weng San mahu kerajaan negeri mengambil sikap terbuka
jika wujud sokongan daripada wakil rakyat PAS Selangor berkenaan agenda
perjuangan Pakatan Harapan dan tidak mahu bekerjasama dengan Umno.
"Mereka (ADUN PAS) yang tidak ingin bekerjasama dengan Umno, haruslah
diterima untuk kekal dalam kerajaan Pakatan Harapan Selangor.
"Sesuatu kerja tidak akan lancar kalau namanya tidak betul. Oleh sebab
itu, pengiktirafan yang sewajarnya harus diberi kepada Pakatan Harapan
Amanah," katanya lagi.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata PAS
terbuka menjadi penasihat kepada kerajaan sekiranya Umno mengubah dasar
pemerintahan mereka.
Pendirian itu mengundang kepada serangan DAP terhadap PAS.
Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke kelmarin memberi kata dua
terhadap Azmin untuk memecat wakil rakyat PAS di dalam pentadbiran
kerajaan negeri.
Sekiranya Azmin gagal berbuat demikian, DAP dikatakan tidak teragak-agak untuk keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri.
Azmin dalam responnya pula mengambil pendirian untuk menggunapakai
pendirian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk meneruskan khidmat
kepada rakyat sebagaimana yang dijanjikan semasa pilihan raya umum.
Beliau menyifatkan tidak adil mengambil hanya satu pandangan daripada perwakilan itu yang kemudian digunakan untuk menyerangnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment