PETALING JAYA : Serik dengan prosedur untuk memohon bantuan yang didakwa
rumit, seorang mualaf tiada pilihan melainkan meraih simpati melalui
laman media sosial Facebook.
Alwi Chan Abdullah, 31, terpaksa mengenetepikan perasaan malu dan
meminta bantuan rakan-rakan di Facebooknya bagi menampung kos pembedahan
dan perubatan anak bongsunya, Danial Oktavian Chan yang kini baru
berusia lebih sebulan sebanyak RM3,600.
Beliau yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah warung di Gombak,
Selangor mendakwa anaknya itu perlu menjalani pembedahan kecil pada
jantung.
Menurut Alwi, sejak dilahirkan pada 16 September lalu, anak bongsunya
itu sering keluar masuk Hospital Ampang kerana keadaan jantungnya yang
lemah.
Malah dengan gaji kira-kira RM1,800 sebulan, beliau tidak mampu membayar
kos rawatan kerana perlu menyara isteri dan tiga anaknya yang lain yang
masing-masing berusia sembilan, empat dan tiga tahun.
"Saya serik berurusan dengan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah
Persekutuan (MAIWP), sebab itu saya terpaksa minta bantuan rakan-rakan
di Facebook.
"Saya terpaksa buat begitu kerana anak saya perlu segara dibedah. Ia
melibatkan hidup dan mati anak bongsu saya. Saya tak boleh nak tunggu
macam proses bantuan sewa rumah sebelum ini. Nyawa anak jadi keutamaan
saya," katanya kepada mStar Online.
Lelaki yang berasal dari Johor Baru itu berkata, hasil sumbangan orang ramai, akhirnya pembedahan tersebut berjaya dilakukan.
"Walaupun ada yang mengecam tindakan saya, alhamdulillah, dalam masa
empat hari saya berjaya memperoleh sumbangan sebanyak RM4,300. Ia lebih
daripada yang diperlukan untuk membiayai kos rawatan tersebut.
"Saya berterima kasih kepada rakan-rakan di Facebook. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa mereka.
"Baki duit sumbangan itu saya sedekahkan ke masjid, macam yang pernah saya janjikan sebelum ini," katanya.
Menurut Alwi, beliau pernah ke Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP di Taman
Sharmelin Perkasa, Cheras untuk bertanya mengenai cara-cara memohon
bantuan kos rawatan anaknya itu.
Namun, katanya, maklum balas yang diterima daripada kakitangan di PPZ berkenaan agak mengecewakan.
"Saya ke sana untuk bertanya proses bantuan. Belum sempat saya isi
borang, kakitangan di sana meminta saya ke Lembaga Zakat Selangor (LZS)
kerana saya menetap di Selangor," katanya.
Alwi berkata, dia kemudiannya pergi ke LZS dengan bantuan rakannya
tetapi kakitangan di sana pula mengarahkannya supaya berurusan dengan
PPZ MAIWP kerana pernah mendapatkan bantuan daripada Baitulmal MAIWP
sebelum ini.
"Saya jadi keliru apabila kedua-dua pihak tidak membantu memudahkan
urusan permohonan tersebut. Seorang kata perlu ke Selangor dan
kakitangan di Selangor pula suruh teruskan bantuan dengan MAIWP. Itu
yang menyebabkan saya berputus-asa untuk meneruskan proses tersebut,"
katanya.
Malah, beliau berkata, sehingga hari ini masih tiada jawapan kepada proses permohonannya itu.
Terdahulu, Alwi sekeluarga pernah tinggal di Rumah Transit Baitulmal
MAIWP di Taman Pelangi, Sentul selama dua bulan pada awal Jun lalu
selepas 'dibuang' keluarga kandungnya sebaik sahaja mengetahui mereka
sekeluarga memeluk Islam.
Alwi sekeluarga diberi satu bilik di rumah transit tersebut dengan wang
RM50 untuk perbelanjaan seminggu dan dibenarkan tinggal di sana selama
dua bulan.
Namun, pada masa sama mereka diarah mencari rumah sewa dan memaklumkan
kepada Baitulmal selepas memperoleh rumah sesuai untuk proses kelulusan
bagi mendapatkan deposit rumah yang akan disewa.
"Tetapi, bila kita dah cari rumah, sewa rumah pula katanya terlalu mahal.
"Tambahan pula prosedurnya terlalu rumit dengan bermacam-macam alasan
diberikan, jadi proses untuk kami pindah ke rumah sewa baharu menjadi
lambat. Saya jadi buntu," katanya.
Kecewa dengan proses tersebut, Alwi turut bertindak memohon pertolongan
bagi mengumpul deposit rumah sewa baharu daripada rakan-rakan dan
kenalannya di Facebook.
"Saya tiada pilihan melainkan meminta bantuan di Facebook. Saya terpaksa
berbuat demikian kerana terdesak. Lagipun tempoh untuk tinggal di rumah
transit Baitulmal sudah berakhir. Tak eloklah bila kami sering
diingatkan supaya cari rumah sewa baharu," katanya.
Tidak lama kemudian, posting Alwi menjadi viral di media sosial dan 'bantuan' akhirnya diperolehi dalam masa yang singkat.
"Saya dibantu oleh seorang hamba 'Allah'. Akhirnya kami dapat berpindah
ke rumah baharu yang terletak di Selayang. Saya bersyukur kepada Allah
kerana sentiasa mendengar doa hambaNya," katanya.
Walaupun masalah mereka sekeluarga sudah selesai, lelaki itu berharap
pihak Baitulmal mengkaji semula proses pengagihan zakat kepada golongan
asnaf yang memerlukan supaya setiap urusan menjadi lebih mudah dan
efisyen.
"Saya pasti ramai mualaf tidak tahu mengenai bantuan yang layak mereka
terima. Jadi kami patut dimaklumkan mengenai hak-hak kami. Bukan kami
mahu mengambil kesempatan tetapi ia penting sekiranya kami ditimpa
kesulitan.
"Dalam tempoh bergelar mualaf, saudara baru seperti kami pastinya
berdepan pelbagai masalah. Kami yang masih 'baharu' ini masih belum
cukup kuat untuk menghadapi dugaan besar ini. Jadi sekurang-kurangnya
pada waktu sukar ini, Baitulmal lah tempat kami 'bergantung' untuk
seketika," katanya.
Info:
MUALAF atau saudara baharu adalah antara lapan asnaf yang berhak
mendapat pelbagai bantuan yang disalurkan majlis agama Islam setiap
negeri, terutama zakat.
Antara bantuan yang diberikan meliputi sumbangan awal ketika memeluk
Islam dan bantuan berterusan mengikut keperluan asnaf bagi tempoh lima
tahun.
Bagaimanapun, jenis-jenis bantuan yang ditawarkan berbeza di setiap negeri.
Misalnya di Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan bantuan
saguhati Hari Raya, bantuan kewangan bulanan, elaun kehadiran kelas
agama asas, bantuan sewa rumah, dermasiswa mualaf, bantuan perkahwinan
dan bantuan umum pelajaran kepada golongan ini.
Selain itu, saudara baru juga boleh memohon bantuan pembinaan rumah
individu, saguhati galakan saudara baharu, bantuan modal, bantuan
perubatan mualaf, kursus dan latihan, pembinaan rumah berkelompok,
pengurusan jenazah dan bantuan berkhatan.
Bagi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, beberapa bantuan lain
seperti depositi sewa beli teksi, biasiswa Baitulmal/insentif khas
pelajar cemerlang, galakkan hafaz Al-Quran, deposit van/bas sekolah,
guaman syarie dan bantuan pelajaran Kolej Kejururawatan Pusrawi turut
disediakan.
Umumnya, ada di kalangan mualaf yang menjalani kehidupan mencabar
termasuk disisih keluarga kandung, malahan ada yang merempat.
Bagaimanapun, tidak semua saudara baru ini berhadapan masalah.
ASNAF adalah pihak yang layak menerima bantuan zakat daripada umat Islam
iaitu fakir, miskin, amil, muallaf, ar-riqab, al-gharimin, fisabilillah
dan ibnu sabil.
*Fakir-berharta, pekerjaan atau pendapatan daripada sumber lain yang
jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan
tanggungan.
*Miskin - mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi
sebahagian keperluan asasi tetapi tidak mencukupi untuk menampung
keperluan harian dan tanggungan.
*Amil - terlibat secara langsung dengan institusi zakat sama ada
individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat
termasuk memungut dan agih.
*Mualaf - memeluk agama Islam. Juga dikenali sebagai saudara baharu.
*Al-Riqab - memerdekakan umat Islam daripada perhambaan.
*Al-Gharimin - berhutang untuk memenuhi keperluan asas diri dan tanggungan.
*Fisabilillah - melibatkan diri dalam aktiviti untuk mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam.
*Ibni Sabil - dalam perjalanan bagi maksud yang dibenarkan syarak dari negeri atau negara yang memerlukan bantuan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN


No comments:
Post a Comment