Wednesday, January 06, 2016

Data Internet Sebenarnya Lebih Penting Dari Wang Saku Anak Ke Sekolah

EDITOR MENULIS...
6 JANUARI 2016
Di awal tahun 2016 ini, saya mendapati masih lagi ramai di kalangan warga netizen yang 'merintih sedih' di laman-laman sosial mendakwa kononnya hidup mereka huru-hara dan tertekan 'bagai nak mampos' gara-gara kenaikan kos sara hidup di negara kita.

Biar pun hanya berani menggunakan nama samaran atau 'fake account' di laman-laman sosial berkenaan, mereka begitu galak sekali cuba meraih simpati. Boleh dikatakan hampir setiap hari mereka bercerita tentang sedih dan pilu, bagaikan 'hidup merempat di negara sendiri'...

Sekiranya diteliti dengan baik dan waras, cerita mereka lebih kurang sama saja. 'Tidak mampu bayar yuran di hari pendaftaran', 'tidak mampu beli semua kelengkapan sekolah yang disenaraikan' dan ada pula yang mendakwa tidak mampu berikan duit poket pada anak yang bersekolah...

Menjengkelkan, di akhir cerita sedih itu, mereka sempat lagi menyalahkan pihak ketiga. Paling disalahkan ialah pihak kerajaan, terutama Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Nampak sangat itu bermotifkan politik...

'Keluhan-keluhan' tersebut mengimbau kembali kenangan penulis ketika di alam persekolahan dulu. Ketika itu, saya hanya dibelikan kasut sekolah semurah RM8 ke RM10 sepasang sahaja untuk setahun bersama stokin 'lorot'. Jika 'loose' getah stokin itu, saya perlu gunakan getah bagi memastikan stokin itu tidak melorot ke bawah...

Saya dulu hanya menggunakan beg lusuh dari kain biasa. Beg 'percuma' itulah yang penulis bawa ke sekolah dari darjah 1 hingga ke darjah 6. Bertampung di sana sini tidak perlulah diceritakan...

Saya dulu kala tidak diberikan wang poket banyak seperti hari anak anak hari ini bila ke sekolah. Kadang-kadang hanya bawa bekal saja, ibu saya yang siapkan selepas tunaikan solat subuh, dan kebetulan ibu saya berniaga dapat juga 'tapaw' sikit untuk bawak ke sekolah. Dan saya selalunya bawa sebotol 'teh o' ke sekolah. Hari-hari begitu sehingga ke darjah 6.

Ayah saya tidak pernah bayar yuran PIBG pada hari pendaftaran. Apa yang dibeli hanyalah barang-barang yang penting saja. Jika dirujuk pada senarai yang berikan sekolah, boleh dikatakan hanya 30% saja yang ayah penulis beli. Barang-barang lain dan yuran PIBG hanya dijelaskan kemudian hari, bila ayah ada wang...

Bezanya? Bezanya ayah saya dan ibu saya tidak pernah merungut. Mungkin ketika itu tiada Facebook atau laman sosial. Tapi ayah dan ibu saya tidak pernah menyalahkan sesiapa atau merintih pilu dalam keadaan kami yang tidak mampu. Sebetulnya, memang kos sara hidup di zaman 1980'an pun memang naik mendadak juga seperti yang berlaku sekarang.

Justeru itu pada pandangan saya, apa yang dirintihkan netizen itu hanyalah perkara biasa. Rasa 'poyo' pula bila merintih lebih-lebih begitu di laman sosial. Saya, Alhamdulillah mampu juga ke menara gading walau dalam kepayahan, takkanlah di zaman serba moden ini mereka tidak mampu merintis pengorbanan?

Peliknya, mereka mendakwa tidak mampu beri wang saku pada anak. Tapi mereka masih mampu mengisi 'top up' dan membeli data telefon pintar untuk mengutuk kerajaan di internet! Apakah keutamaan mereka sebenarnya? Internet lebih penting dari makanan anak-anak di sekolah?

Tidak dinafikan ada di kalangan rakyat Malaysia yang miskin. Tapi itulah lumrah ciptaan Allah. Allah memang sudah tetapkan tentang ada yang kaya dan ada yang miskin. Sudah ditetapkan rezeki masing-masing. Rezeki itu datang dariNya, kenapa pula salahkan kerajaan?

Saya sangat yakin, jika kerajaan itu zalim dan kejam sekalipun, namun jika Allah sudah tetapkan hambaNya itu dilimpahkan rezeki yang melimpah ruah, biar disekat bagaimana pun sekali, hambaNya itu akan tetap kaya raya dan senang lenang dipermudahkan rezekinya.

Namun jika kerajaan itu sebaik mana pun sekali, namun jika Allah tetapkan rezekinya 'ditutup', ikhtiarlah sampai berkeringat darah pun sekali, dia akan tetap papa hingga ke akhir hayatnya. Sangat jelas bahawa ketentuan rezeki itu dari Allah dan apakah kita tidak percaya pada ketetapan tersebut?

Jadi, berhentilah untuk terus menjadi 'kufur' pada nikmat Allah SWT. Setiap ketetapannya ada hikmahnya. Ada hikmah di sebalik kekayaan dan kemiskinan. Cuba renungkan sedalam-dalamnya dan berfikir secara waras. Semoga masyarakat Malaysia terhindar dari sikap kufur pada Allah SWT dan 'poyo' pada diri sendiri.......

Fikir-fikirkanlah...

Disediakan oleh : 
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhMoEhF9SBhGuMMWIV247Ei5tk94Gj0YZzzVJ89eF5zV2i_PTSXZix083XM6cNxgxRKqJVlk_dzM3qh_CPVXlkPkZB0_x5juQCeaPmBKncSpi1G3uh1xNh8OkMjfbMkCEyrUxxs6QiNXbsi/s1600/Debat+93.JPG
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment