Saya melihat situasi politik di Kedah sangat mengujakan di saat ini.
Pernah saya membicarakan tentang luahan akar umbi warga UMNO di Kedah
tentang Pengerusi UMNO Negeri, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir, tapi
ramai yang memandang ia soal remeh.
Malah pada pihak yang menyokong Mukhriz, mereka seolah-olah 'buta' dari
rasional dan realiti politik sebenar yang sudah sekian lama terpendam.
Menipu diri sendiri dari realiti sebenar adalah satu tindakan tidak
bijak oleh mereka yang mengelilingi Mukhriz.
Semua orang tahu Mukhriz naik menjadi Menteri Besar Kedah setelah
menafikan hak Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang sebelum itu
bersengkang mata, mengunakan kudrat separuh abadnya menyatukan semua
warga UMNO di Kedah untuk merampas kembali negeri tersebut dari PAS.
Mempunyai kelebihan 'Father' yang sebelum ini merupakan 'God Father'
politik sesetengah pihak yang taksub politik individu, Mukhriz dikatakan
terpaksa menerima jawatan Menteri Besar di negeri itu walaupun hatinya
'melekat' di Kuala Lumpur.
Mungkin tidak biasa mengendalikan pentadbiran dan politik di peringkat
negeri, Mukhriz dikatakan bergantung harap pada mereka-mereka yang
dilantik ke jawatan penting dan memberi 'nasihat' padanya untuk
mengetuai pentadbiran kerajaan negeri serta budaya politik UMNO di Kedah
yang disifatkan berbeza dari negeri lain.
Dikatakan bahawa itulah langkah sumbang Mukhriz. Pegawai yang beliau
lantik di kanan dan kirinya boleh dikatakan hampir 'buta' dengan
lantikan tersebut, dan sering memberikan nasihat yang salah terutama
dari sudut politik negeri di bahagian-bahagian.
Satu persatu Ketua UMNO Bahagian serta seluruh akar umbi parti meneliti
dan membaca gerak geri Mukhriz. Seorang demi seorang menelaah gerak
pentadbiran dan visi anak Mahathir itu. Mukhriz diperhati luarannya oleh
rakyat Kedah secara umumnya...
Sehingga tiga tahun Mukhriz di Kedah, boleh dikatakan hampir semua UMNO
Bahagian dan akar umbi hilang sabar. Mukhriz masih 'buta' politik. Rasa
cuak bakal kalah PRU mula mereka rasa.
Lebih dari separuh 'rejim Mukhriz' dilantik dan menjawat jawatan penting
di UMNO Kedah. Yang berpengalaman, terbukti berkesan dan dianggap
'lama', habis dinyahkan dari ibu pejabat UMNO Negeri itu. Maka
terkontang-kantinglah 'rejim Mukhriz baru' itu tidak tahu apa yang
hendak dibuat.
Malangnya, Mukhriz seolah-olah tidak tahu mereka tidak tahu buat kerja
walau sudah diberitahu. 'Kepala perang' pula diserahkan kepada 'calon
PRU yang kalah perang'.
Setiausaha Kerja dikatakan tiada hubungan yang baik dengan UMNO di
Bahagian-Bahagian membantutkan kerja. Malah dalam satu keadaan 'kepala
perang' ditinggalkan 'bertapa' di Kedah, dan Setiausaha Kerja bawa
'dayang-dayang' ke 'medan perang' menghadapi PRK yang berlangsung.
Mujurlah ada jentera dari UMNO Bahagian yang 'back up'.
Selain itu, Mukhriz turut dikatakan melantik Setiausaha Politik yang
gagal melaksanakan tanggungjawabnya sehingga menyebabkan majoriti UMNO
Bahagian rasa jauh hati, tidak selesa dan tidak menyokong Pengerusi UMNO
Kedah yang dilantik Presiden UMNO pada 2013 itu. Bila pegawai paling
kanan Mukhriz itu ditegur, dimarahnya pula pihak yang menegur? 'Bijak
sungguh' politik Setiausaha Politik yang Mukhriz lantik, bukan?
Di peringkat KCS pula khabarnya cakap-cakap awal dari pegawai-pegawai
pentadbir negeri yang bernaung di bawah Sultan Kedah itu mula kedengaran
pada awal majlis Mukhriz melantik barisan Exco Kerajaan Negeri.
Khabarnya, ada beberapa Exco yang 'blur' bila KCS mengadakan taklimat
dalam bahasa Inggeris?
Selain itu, turut dikatakan Mukhriz dan beberapa barisan Exconya dilihat
gagal mengambil hati jentera pelaksana dasar kerajaan negeri itu
sehingga timbul desas-desus yang mengatakan beliau dan barisan
pilihannya itu 'tidak tahu prosedur' dan 'main redah saja'. Cerita
tentang Mukhriz 'tidak berlaga angin' dengan seorang 'bekas SUK' turut
menjadi bualan hingga kini...
Namun berbeza pula dengan cerita di pihak rakyat. Persepsi rakyat
padanya dikatakan baik-baik belaka walau Mukhriz hanya sekadar
'berselfie' dengan mereka. Membawa pasukan 'media sosial' berbayarnya ke
kedai kopi makan roti canai, diambil gambar seolah 'berjiwa marhain'
telah mempengaruhi persepsi orang Kedah terhadap beliau.
Mungkin mereka tidak sedar bahawa Mukhriz gagal menyediakan 20,000
peluang pekerjaan di Kedah. Mungkin mereka tidak peduli tentang tiada
litar lumba yang dijanjikan. Mungkin mereka tidak kisah Mukhriz tidak
melakukan apa-apa di Kedah asalkan mereka boleh berselfie dengan beliau
di pasar pagi atau dipasar malam, itu sudah memadai untuk KPInya selaku
Menteri Besar yang berjasa?
Pada pandangan kita, Mukhriz memang popular di mata rakyat Kedah.
Tapi mereka tidak sedar tentang kerisauan di sudut hala tuju pentadbiran
negeri Kedah dan akar umni UMNO Kedah yang bimbang dengan persediaan
parti bagi menghadapi PRU ke-14.
Untuk rekod, kerajaan BN di Kedah bukannya kuat sangat, hanya majoriti
mudah saja. Itulah yang dibimbangkan, takut tumbang sekali lagi dan
Mukhriz dijangka akan menyalahkan Najib atas kekalahan tersebut.
Mukhriz dikatakan telah diberitahu tentang kerisauan itu, namun
ketumpulan gerak kerja, kurang pengalaman dan keadaan 'tidak tahu apa
nak buat' di kalangan pegawai-pegawai yang beliau lantik telah
menyebabkan tiada sebarang perubahan berlaku.
Hasilnya, dikatakan hampir seluruh bahagian, termasuk akar umbi di UMNO
Bahagian Jerlun yang diketuai Mukhriz sendiri merungut tidak puas hati
dan hilang keyakinan. Maka mereka menuntut Najib tukar Mukhriz dengan
indvidu lain.
Mulanya, penasihat-penasihat Mukhriz fikir ia hanya gertakan seperti
yang pernah berlaku sebelum ini. Namun jangkaan mereka meleset. Kali ini
bukan lagi 'cobaan', tapi betul-betul kejadian sebenar. Maka
kelam-kabutlah pegawainya cuba meraih simpati dari rakyat yang pernah
berselfie dengan Mukhriz di 'pekan nat'.
Tidak cukup dengan itu, imej arkitek sebenar yang merampas Kedah dari
PAS, Dato' Seri Ahmad Bashah turut dihina dan diperlekeh dengan
penyebaran video yang sengaja diviralkan, sedangkan sedikit pun pekung
Mukhriz tidak didedahkan ketua-ketua UMNO Bahagian di Kedah.
Khabar yang terkini di Kedah, Mukhriz dikatakan sedang menghitung
detik-detik untuk kembali ke Kuala Lumpur. Manakala 'orang keliling'
Mukhriz yang sedang tergugat peluang 'mengaut dedak lumayan' sedang
memaki hamun dan mencarut-carut di laman-laman sosial.
Sementara itu di satu pihak lain, dikhabarkan bahawa sudah ada persiapan
yang sedang dibuat bagi majlis angkat sumpah Menteri Besar Kedah yang
baharu, namun calon yang bakal mengangkat sumpah itu masih lagi menjadi
tanda tanya.
Itulah perkara terkini yang saya diberitahu oleh beberapa rakan
saya yang berada di Kedah, dan memerhati perkembangan politik dan
pentadbiran kerajaan negeri di sana. Saya malas hendak turun ke
negeri itu kerana takut muntah apabila bersua muka dengan seseorang yang
mengaku 'kepala perang siber' yang bertanggungjawab menawan Kedah dari
PAS.
Boleh 'muntah hijau' dibuatnya nanti..!
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment