Monday, January 25, 2016

Sanggupkah Mahathir Mohon Maaf Pada Najib Demi Survival Mukhriz?

EDITOR MENULIS...
25 JANUARI 2016
Perasaan teruja untuk merasai kehangatan politik yang kecoh diperkatakan memaksa saya untuk melangkah sempadan negeri untuk ke negeri jelapang padi, Kedah Darul Aman. Teringin juga untuk merasa debaran politik di negeri itu.

Seperti biasa, lokasi pertama yang dituju adalah restoran nasi kandar terkenal Yasmeen atau lebih dikenali sebagai nasi kandar pokok ceri. Gemar sungguh saya melepak disitu...

Asyik menikmati nasi kandar dengan ayam goreng berempah dan telur sotong, konsentrasi saya terganggu mendengar beberapa 'otai' yang kuat bersembang politik kedai kopi. Topik panas yang saya tunggu, politik Kedah bergolak.

Nama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkali-kali disebut.. Tidak tahulah sama ada beliau tersedak-sedak disebut atau tidak. Nama Timbalan Menteri KPDNKK, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah turut disebut. Kemudian disebut pula nama mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menarik perhatian saya, isi perbualan mereka menunjukkan mereka tetap mahu Mukhriz kekal menjadi Menteri Besar, tapi mereka akur tentang hak Presiden UMNO untuk menukar beliau dengan individu yang difikir layak untuk jawatan tersebut. Agak rasional pandangan itu pada fikiran saya.

Apa yang mengejutkan saya, mereka bermati-matian menyalahkan Dr Mahathir! Mereka bersungguh-sungguh mendakwa kerana bapa Mukhriz itulah maka karier anaknya sedang menuju ke longkang. 

Dalam hati saya, berani sungguh mereka menyalahkan bekas Perdana Menteri itu. Namun mungkin kerana Dr Mahathir sudah tiada kuasa dan ISA pun sudah dihapuskan, maka beranilah mereka mengutuk beliau?

Mereka turut mahu Dr Mahathir secara terbuka memohon maaf terhadap Najib demi menyelamatkan karier Mukhriz yang sedang dilanda badai. Mereka menganggap semuanya salah Mahathir kerana selama ini menghentam Najib secara tidak wajar dan tanpa asas yang kukuh.

Saya terbayang wajah Dr Mahathir di saat itu. Saya terbayang pula corak politiknya yang terkenal kejam dan 'brutal' serta pernah 'mengorbankan' ramai mangsa termasuk dua anak raja sebelum ini. Sanggupkah seorang yang sebengis dan seego itu memohon maaf pada Najib?

Saya berpandangan bahawa sekiranya Dr Mahathir masih muda dulu, tidak mungkin dan mustahil untuk beliau bertindak sedemikian. Gelaran 'Mahafiraun' yang pernah dilemparkan terhadap beliau dulu datang ke fikiran saya.

Namun keadaan sekarang adalah berbeza. Dr Mahathir sudah berusia lebih 90 tahun dan berkemungkinan juga ego beliau sudah turun sesuai dengan usianya. Soalnya, apakah beliau tegar untuk merendahkan ego beliau demi kelangsungan survival politik anak kandungnya sendiri?

Persoalan itu tergantung di fikiran saya. Politikus-politikus kedai kopi di nasi kandar pokok ceri yang kecoh berbual tadi entah hilang ke mana. Dan fikiran saya masih berfikir, sanggupkah Mahathir?

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment