Wednesday, January 06, 2016

'Sultan Melaka' Semakin 'Famous' Walau Menjadi Buruan Polis

Rentetan isu pengurniaan pingat dan darjah kebesaran yang diberikan oleh individu yang mengaku bahawa drinya adalah ‘Sultan Melaka’,  kini individu tersebut sedang giat diburu polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah telah menubuhkan satu pasukan khas, bagi menjejaki individu yang mengaku dirinya ‘Sultan Melaka’ tersebut.

Polis bertindak atas tersebarnya berita seorang lelaki dikenali sebagai Raja Noor Jan Shah Tuah, dikatakan telah memberikan darjah kebesaran kepada beberapa individu termasuklah aktivis selebriti, Abdul Rani Kulup.

Dengan pengurniaan  darjah kebesaran tersebut, ia membolehkan mereka memakai gelaran ‘Datuk’. Siasatan pihak polis tertumpu di kawasan sekitar Kembah Klang, pihak polis sedang berusaha untuk mengesan sebarang maklumat dan mengumpul bukti kukuh di atas dakwaan tersebut. Saksi kejadian atau individu yang terlibat diminta tampil untuk memberi kerjasama di dalam kes ini.

“Kita juga sedang mengesan lelaki yang mengaku sebagai Sultan Melaka itu untuk merakam percakapannya, selain penerima pingat atau darjah kebesaran daripada beliau,” katanya.

Tindakan tidak bertamadun itu menjatuhkan maruah sembilan Raja-Raja dan empat Yang Dipertua Negeri di Malaysia. Jika mengikut undang-undang Perlembagaan Persekutuan, hanya anggota Majlis Raja-Raja dan Majlis Raja-Raja sahaja yang berhak memberi darjah kebesaran dan gelaran di negara ini.

Selain daripada itu, darjah kebesaran yang diberikan oleh  mereka yang mengaku Raja atau Sultan adalah tidak sah. Mengikut pengiraan, individu yang banyak berjasa dan terpilih sahaja yang layak menerima gelaran tersebut. Itu pun terpaksa melalui pelbagai tapisan.

Justeru itu, tindakan tidak bermaruah tersebut wajar digelarkan sebagai tindakan syok sendiri. Sedar tak sedar tindakan itu pasti mengguris hati Raja-raja Melayu. Tindakan individu  ini, hanya bermotifkan mengaut keuntungan dan cuba mengambil kesempatan.

Untuk pengetahuan, individu bernama Raja Noor Jan Shah Tuah yang mengaku dirinya ‘Sultan Melaka’ pernah ditahan polis pada awal tahun lalu. Dia ditahan bagi membantu siasatan kerana mengaku dirinya ‘Sultan Selangor’, namun kali ini perkara sama berulang lagi. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment