KUALA TERENGGANU : "Saya akan lawan! Saya akan lawan dengan berusaha
supaya mencipta lebih banyak kejayaan, lebih banyak kebaikan untuk
rakyat!.
"Saya akan lawan dengan berusaha keras supaya Terengganu dihormati kawan
dan lawan. Saya akan lawan dengan berusaha supaya kita dapat hapuskan
sebarang bentuk rasuah dan penyelewangan. Kalau saya mati sekalipun,
saya mati melawan."
Demikian ikrar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman ketika
sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung tindakan bekas menteri
besar dan juga ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said mengemukakan cadangan
usul undi tidak percaya terhadapnya (Ahmad Razif) semalam tetapi ditolak
speaker DUN Datuk Mohd Zubir Embong.
Abdul Razif berkata sejak awal mengambil tugas sebagai Menteri Besar
(MB), beliau sentiasa menjadikan tiga bekas MB iaitu Tan Sri Wan Mokhtar
Ahmad, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahmad sebagai ikon.
"Saya raikan mereka dalam satu majlis semata-mata bertujuan memperingati
dan menunjukkan rasa hormat saya terhadap jasa dan sumbangan mereka,
namun malangnya Adun Kijal tidak hadir.
"Saya mahu rakyat tahu bahawa saya menyambung kerja-kerja baik dan asas
yang telah mereka letakkan untuk pembangunan Terengganu. Siapalah saya
berbanding mereka. Saya hanya cikgu sekolah.
"Saya mengharapkan ketiga-tiga bekas MB ini dapat bersama-sama membantu
saya dan kerajaan dalam memajukan negeri. Jika kebaikan dibalas dengan
kejahatan, itu adalah dendam," katanya.
Ahmad Razif turut menyatakan bahawa beliau merasa pelik apabila
dikatakan membuat konspirasi untuk menafikan sumbangan Ahmad sewaktu
beliau menjadi MB.
Katanya, sekiranya terdapat kebaikan yang disebut oleh pihak lain ketika
beliau menjadi menteri besar, ia sebenarnya adalah kebaikan yang
dimulakan oleh Barisan Naisonal (BN) terdahulu.
"Misalnya, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) telah siap ketika saya
menjadi MB namun kerja-kerja awal telahpun bermula ketika zaman Wan
Mokhtar lagi.
Begitu juga stadium, ITC Kemaman, Sekolah Menengah IMTIAZ dan pelbagai projek yang sebelum ini terbengkalai atau dibiarkan lesu.
"Saya sambung dan selesaikan. Saya tidak menafikan sumbangan sesiapa,
malah saya selesaikan apa yang tidak selesai dan tambah nilai apa yang
belum selesai.
"Saya sentiasa katakan bahawa kita harus sentiasa memandang ke hadapan.
Kita jangan lupa, apabila kita tinggalkan sesuatu jawatan, kita mungkin
tinggalkan bukan sahaja legasi baik tetapi mungkin ada legasi tidak
baik," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut memuji tindakan Idris yang hadir secara
konsisten dalam sidang DUN walaupun telah menyerah tugas, namun ia
berbeza dengan keadaan Ahmad, yang mana beliau kerap tidak hadir.
"Yang sudah tu sudahlah. Saya teringat kata-kata yang diucap sendiri
oleh Adun Kijal, 'kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi
pantai. Kita orang politik jangan berkecil hati, jangan makan hati,
jangan rasa hati dan mesti berhati-hati'.
"Saya akui saya hanyalah seorang cikgu dan cikgu ini sifatnya sentiasa
akur dan menerima, jarang sekali membantah. Diseru dan dipanggil...kita
datang. Disuruh pergi..kita pulang.
"Tetapi sesiapa sekalipun, sama ada dia seorang cikgu atau bukan,
sekiranya asyik diasak dan maruahnya dihina, dia akan melawan. Saya akan
lawan!", katanya sebelum mengakhiri ucapan yang mendapat tepukan gemuruh
dalam kalangan barisan kerajaan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment