KUALA LUMPUR : Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata Tun Dr
Mahathir Mohamad sanggup melakukan apa sahaja termasuk mempergunakan
orang lain demi mencapai agenda politik peribadinya.
Annuar berkata, bekas perdana menteri itu merupakan seorang strategis
dan sepanjang karier politiknya, matlamatnya sentiasa menghalalkan cara.
"Beliau seorang strategis. Kita perlu lihat beberapa langkah ke hadapan
termasuk apa yang telah dilakukan baru-baru ini (Deklarasi Mahathir yang
bertujuan menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak).
"Bagi Dr Mahathir, (apabila bersekongkol dengan pembangkang), matlamat
menghalalkan cara dan beliau sangat cekap dalam menggunakan orang lain
demi merealisasikan impiannya," kata Annuar ketika menjadi tetamu
program 'Soal Jawab' di TV3, Sri Pentas, Rabu.
Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata permainan politik itu
juga dapat dilihat sepanjang beliau (Dr Mahathir) memimpin negara ini
sebagai perdana menteri ke-4.
"Ada satu waktu, beliau tidak suka kepada Tengku Razaleigh Hamzah atau
Ku Li kerana sebab tertentu. Bayangkan, Ku Li, orang yang bina PWTC
(Pusat Dagangan Dunia Putra), urus perbelanjaan parti, juga Naib
Presiden (ketika itu) tetapi Mahathir tidak suka caranya.
"Oleh kerana beliau tidak mahu mengambil Ku Li, maka atas kepintaran
politiknya, jawatan itu dipertandingkan dan secara langsung dia beri
sokongan kepada (Datuk Seri) Musa Hitam (kini Tun) untuk mengalahkan Ku
Li," katanya.
Annuar mendakwa, namun selepas Dr Mahathir tidak selesa dengan pengaruh
Musa, beliau mula mempergunakan Tun Ghafar Baba menyingkirkan Musa.
Namun selepas itu, Dr Mahathir berpaling tadah lagi dan memberi sokongan
kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga memenangi jawatan menjadi
timbalan presiden Umno dengan menyingkirkan Ghafar.
"Apabila perjalanan politik Anwar menjadi kuat malah membina kekuatannya
sendiri yang akhirnya menimbulkan lagi kebimbangan, maka Dr Mahathir
sekali lagi menggunakan strategi dan permainan yang sama untuk
menyingkirkan Anwar," katanya.
Annuar berkata, Dr Mahathir kemudian sekali lagi mempergunakan Tun
Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah yang merupakan anak jati Pulau Pinang
untuk menjadi Timbalan Presiden Umno yang seterusnya menjadi Perdana
Menteri.
"Usaha itu dengan harapan kuasa masih di tangan Dr Mahathir sehingga di
saat beliau tidak menyukai Paklah, Datuk Seri Najib pula digunakan. Dan
terkini, beliau menggunakan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula untuk mengatur
segalanya bagi memastikan usaha beliau menjatuhkan Najib berjalan
lancar.
"Memandangkan usaha tersebut gagal, Dr Mahathir menjelmakan pula
Deklarasi Rakyat (Jumaat lepas). Malah beliau sanggup bekerjasama dengan
pembangkang setelah tidak mendapat sokongan dari Umno sendiri termasuk
dalam isu pemecatan anaknya, (Datuk Seri) Mukhriz," dakwanya.
Annuar berkata, apa yang dilakukan Mahathir itu jelas tidak melambangkan
perjuangannya dalam parti tetapi lebih kepada dendam, kepentingan dan
agenda peribadi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment