Thursday, March 10, 2016

Ahmad Razif Yakin Ada Pendorong Di Sebalik Tindakan Ahmad

http://media.themalaysianoutsider.com/assets/uploads/articles/AHMAD_RAZIF_140514_TMINAZIRSUFARI_05.jpg
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yakin wujud pendorong di sebalik tindakan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang cuba mengembalikan suasana tegang di negeri ini.

Katanya, tanpa individu-individu di belakang pastinya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu tidak akan berani untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya.

Serentak itu, beliau turut mengakui ada diberi amaran sesuatu akan berlaku seminggu sebelum ini sekali gus memaklumkan akan mengetahui tentang kewujudan individu-individu itu tidak lama lagi.

“Saya telah diingatkan supaya berhati-hati dan ada gerakan luar untuk jatuhkan saya. Saya dapat maklumat dari Kuala Lumpur.

“Kita tahu perkara ini sudah pasti ada yang berdiri di belakang yang jadi pendorong. 

Sekiranya berseorangan saya yakin dia tidak akan berani untuk buat satu perkara tanpa ada pihak lain terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Khas bersama parti komponen Barisan Nasional serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Terengganu di sini malam tadi.

Ahmad Razif dalam ucapannya turut mengisytiharkan 2016 sebagai tahun peperangan sekali gus akan berusaha habis-habisan untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Beliau turut menarik perhatian, matlamat menjadi menteri besar bukanlah untuk mengejar kuasa atau mencipta empayar hebat sebaliknya untuk memastikan kejayaan kerajaan sedia ada di Terengganu.

“Keutamaan saya adalah untuk mencipta kemenangan dan sekiranya saya perlu buat pengorbanan, saya akan lakukan,” katanya.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu semalam dikejutkan dengan tindakan Ahmad yang mengemukakan usul undi tidak percaya ke atas Ahmad Razif.

Ahmad berbuat demikian semasa sesi membahas titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Abidin yang menyempurnakan istiadat pembukaan persidangan penggal keempat di Wisma Darul Iman.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment