Thursday, March 10, 2016

UMNO Perlu Lakukan ‘Pemutihan’ – Mohd. Ali Rustam

http://www.utusan.com.my/polopoly_fs/1.137374.1442513922!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_650/image.jpg
UMNO diminta segera melakukan pemutihan dalam parti bagi memastikan ia terus bersih dan tiada pemimpin atau ahli yang menjadi ‘gunting dalam lipatan’ sehingga mengganggu perjuangan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, pemutihan parti perlu dilakukan segera bagi menyingkirkan mana-mana pemimpin atau ahli yang terlibat serta berniat menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, pemimpin yang bersekongkol serta terlibat dengan pakatan Dr. Mahathir Mohamad dan pembangkang bagi menjatuhkan Perdana Menteri seperti bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan beberapa individu lain perlu segera dipecat supaya UMNO sentiasa bersih.

“Mereka yang terlibat dan berkomplot dalam pakatan menjatuhkan Perdana Menteri ini perlu diambil tindakan tegas kerana ia tidak boleh dibiarkan.

“Untuk menghadapi PRU-14, kita (UMNO) tidak boleh ada dua atau tiga kumpulan berbeza dalam satu perjuangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sebelum merasmikan Mesyuarat Agong Berkelompok Cawangan-cawangan UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di Bangunan UMNO Bahagian Bukit Katil di sini malam ini.

Yang turut hadir, Setiausaha UMNO Bahagian Bukit Katil, Datuk Mat Sirat Abu.

Mohd. Ali berkata, UMNO Bahagian Bukit Katil menegaskan pendirian terus setia menyokong Najib dan membantah keras pakatan dipimpin Dr. Mahathir bersama DAP yang dilihat jauh terpesong daripada matlamat asal perjuangan UMNO.

“Tindakan yang dilakukan Dr. Mahathir serta pemimpin-pemimpin UMNO yang terlibat itu juga jelas akan memberi kesan kepada peluang UMNO untuk menang dalam PRU-14 nanti,” ujarnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment