Thursday, March 10, 2016

Bimbang Sokongan Tun M Pada Deklarasi Rakyat 'Makan Diri' - Pemimpin Akar Umbi

KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya lebih berhati-hati sebelum menjalinkan kerjasama politik dengan pembangkang menerusi Deklarasi Rakyat baru-baru ini.

Pemimpin Umno, Anuar Abdul Manap berkata dokumen yang ditandatangani bekas perdana menteri kelima itu, yang kononnya mahu memaksa Datuk Seri Najib Razak berundur akhirnya memakan diri selepas pembangkang tiba-tiba mengumumkan agenda utama deklarasi tersebut adalah untuk membebaskan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar kini meringkuk dalam Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan mensabitkannya bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

"Pembangkang suka mencari peluang dan melihat Tun M sebagai peluang mereka untuk mengetengahkan isu berkaitan Deklarasi Rakyat.

"Soal melepaskan Anwar di dalam sidang media PH (Isnin lalu) pun hanya diperjuangkan PKR. Bukannya hasil gabungan daripada semua pakatan. Nampak mereka pun tidak bersatu dalam hal ini," katanya ketika ditemui Antarapos, hari ini.

Isnin lalu, Pakatan Harapan (PH) bertegas pembebasan Anwar adalah teras perjuangan Deklarasi Rakyat yang kini didokong pembangkang, Mahathir, anaknya Datuk Seri Mukhriz serta bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Seri muhyiddin Yassin.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika mengumumkan perkara itu turut berkata penglibatan Mahathir dalam deklarasi itu menunjukkan beliau bersetuju dengan agenda PH yang mahu institusi tertentu yang 'memangsakan' Anwar dirombak.

Anuar kemudiannya menasihatkan kepada semua ahli politik agar lebih berhati-hati dan tidak mudah melatah jika dihimpit kontroversi atau sesuatu yang tidak memihak kepada mereka.

"Nak kata dipermainkan atau apa, saya tidak pastilah. Tetapi memandangkan sebagai orang yang ada nama dan pengikut, beliau kena berhati-hati di masa akan datang.

"Jangan melatah apabila ada yang hendak menyokong, sebab mereka yang nak menyokong kita ini biasanya ada udang di sebalik batu, ada perkara yang meibatkan kepentingan mereka akan diketengahkan.

"Termasuklah apa yang cuba dilakukan PKR. Walaupun deklarasi itu tak meletakkan Anwar untuk dilepaskan tetapi mereka ambil kesempatan pada sudut yang lain untuk istiharkan deklarasi ini untuk menyatakan Anwar dianiaya," ujar Anuar.

Anuar, yang juga Ahli Parlimen Sekijang menasihatkan pembangkang dan rakyat tidak menggunakan kekerasan sekiranya benar-benar mahu menyingkirkan Najib.

Sebaliknya menunggu pilihan raya umum yang akan datang yang dalam tempoh dua tahun akan datang. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment