Thursday, March 10, 2016

Mahathir Dan Pembangkang Saling Perguna Sesama Sendiri - NGO

SHAH ALAM : Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembangkang saling mempergunakan kekuatan masing-masing semata-mata untuk kelihatan 'solid' sekaligus menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Justeru Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor menyifatkan kerjasama antara dua pihak itu tidak ikhlas dan ada agenda tersendiri.

Namun ujar pengerusi NGO itu, Datuk Jamal Yunus kerjasama politik Mahathir dengan pembangkang itu menyaksikan sokongan kepada Najib semakin utuh dan meyakinkan.

"Kedua-dua pihak mempergunakan diri masing-masing. Kedua-dua kumpulan ini mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing dan cuba untuk membentuk kekuatan.

"Kita lihat ada dikalangan ngo yang hadir pada malam ini yang dahulu tidak bersama kami tetapi apabila melihat senario politik yang berlaku, mereka telah menyatakan sokongan yang padu kepada Najib," katanya dalam sidang media di Bangunan Umno, pada lewat malam Selasa.

Beliau sebelum itu menyuarakan penolakan mereka terhadap Deklarasi Rakyat yang dibawa oleh bekas perdana menteri itu.

Lebih 200 ahli NGO hadir memberikan sokongan agar deklarasi berkenaan ditolak dalam program berkenaan.

"Begitu juga dengan pembangkang,  mereka ini sanggup bersengkokol dengan orang yang (merek anggap) selama ini menindas mereka bertahun-tahun lamanya, jadi mereka ini saling memerlukan antara satu sama lain untuk memperkuatkan kelemahan yang mereka ada," katanya.

Katanya lagi, langkah bekas pemimpin Umno itu jelas mencerminkan bahawa beliau terdesak untuk melihat Najib melepaskan jawatannya.

"Kami juga kesal, tersinggung dan amat terhina atas tindakan Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz dan beberapa orang lagi tokoh Umno yang telah bersekongkol dengan pemimpin utama DAP yang dianggap sebagai cukup rasis dan chauvinis khususnya terhadap Melayu dan Islam, untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang dipilih rakyat secara sah," kata Jamal.

Gabungan itu turut mendesak agar kerajaan memecat Mahathir dari jawatan-jawatan yang disandang beliau terutama di Petronas, Proton, Yayasan Kepimpinan Negara dan lain-lain agensi berkaitan kerajaan.

Dalam pada itu, NGO berkenaan memberitahu pihaknya akan mengadakan himpunan 5,000 ahli orang di seluruh negara bagi menzahirkan bantaham kepada Mahathir, minggu depan.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment