Wednesday, March 09, 2016

Kelab NKB 1Malaysia Desak Tindakan Terhadap Pemimpin Yang Bersekongkol Dalam Deklarasi Rakyat

KUALA LUMPUR : Bekas Mantan Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamed hari ini terus didesak dilucutkan jawatan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Proton dan Petronas lantaran tindakannya bersekongkol bersama pemimpin pembangkang baru-baru ini dalam satu gerakan yang dinamakan ‘Selamatkan Malaysia’ dengan niat menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Pengerusi Kelab Naib Ketua UMNO Bahagian 1Malaysia, Datuk Anuar Mohd Yunus turut menzahirkan sokongan taat setia Kelab Naib Ketua UMNO Bahagian 1Malaysia tanpa berbelah-bahagi terhadap Datuk Seri Najib Razak untuk terus memimpin negara selaku Perdana Menteri Malaysia, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO.

Kuala Lumpur, 8 Mac--Pengerusi Kelab Naib Ketua Bahagian UMNO 1Malaysia (NKB1M), Datuk Anuar Mohd Yunus yang mewakili Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh Malaysia menjawab pertanyaan wartawan dalam sidang media sebelum menyerahkan memorandum ketetapan NKB1M kepada Pemangku Ketua Setiausaha Bahagian (KSUB), Azwan Abd Aziz berhubung taat setia dan sokongan tanpa berbelah-bahagi terhadap YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk terus memimpin Negara selaku Perdana Menteri Malaysia, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO di PWTC petang ini.

“Kami kecewa dan tersinggung atas tindakan dan penglibatan Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang telah secara terbuka dan terang-terangan bersekongkol dalam satu gerakan yang berpaksikan agenda untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia secara “unconstitutional” (tidak berperlembagaan).

“Kami berpendirian bahawa persekongkolan mereka sepentas bersama pemimpin parti pembangkang, khususnya Dap yang dahulunya pernah mencaci dan mencela mereka semasa kerjayanya dahulu yang berteraskan perjuangan ‘Malaysian Malaysia secara tradisinya menentang setiap elemen serta institusi berciri Melayu/Islam,” ujarnya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Tambahnya, mereka turut mengecam dan menolak sekeras-kerasnya segala bentuk penglibatan mantan pemimpin, pemimpin semasa serta para ahli UMNO yang sanggup bersetuju, bersekutu dan menurunkan tandatangan ke atas sebuah dokumen yang kononnya bersifat Deklarasi Rakyat berjudul ‘Selamatkan Malaysia’ pada 27 Feb baru-baru ini.

“Kami tidak yakin bahawa Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan Dato’ Seri Mukhriz mampu menguasai atau menentukan hala tuju gabungan kepelbagaian idealism songsang tersebut.

Bahkan kami penuh yakin kelompok ‘desperado’ yang menongkah arus perjuangan UMNO ini akan tenggelam dan lemas dalam pukulan badai yang direncanakan oleh gerombolan majoriti yang nyata anti-UMNO, anti-Barisan Nasional, anti-Melayu dan anti-Islam.

“Kami tidak akan terperdaya dengan deklarasi dangkal kelompok ini bahawa matlamat serta-merta mereka hanyalah untuk menurunkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak daripada kerusi Perdana Menteri Malaysia,” ujarnya yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Temerloh.

Jika diteliti deklarasi tersebut tegas beliau, matlamat sebenar gerombolan majoriti penggerak deklarasi ini adalah untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional daripada terus menjadi sebuah kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat, yang sah di bumi Malaysia.

“Kami juga menyarankan Majlis Tertinggi UMNO memecat keahlian Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Tan Sri Sanusi Junid dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir di dalam UMNO.

“Ahli dan pemimpin UMNO yang bersetuju, bersekutu dan bekerjasama dengan Gerakan ‘Selamatkan Malaysia’ adalah seumpama berfungsi sebagai satu komponen kecil kepada suatu jentera besar yang digerakkan untuk menumbangkan UMNO dan BN, satu kepimpinan Melayu Islam di Malaysia. UMNO wajib menyucikan perjuangannya daripada elemen-elemen mungkar sebegini,” tambahnya lagi.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment