Artikel berikut dipetik dari blog Tun Mahathir Mohamad bertajuk UMNO dan DAP (http://chedet.cc/?p=2003).
1. Ramai ahli UMNO yang rasa terkilan dan tidak senang melihat Kit
Siang dan DAP berada diatas pentas yang sama dengan UMNO dan
pemimpinnya, yang lama dan yang baru.
2. Kenapakah ahli dan pemimpin UMNO sanggup bersama dengan DAP dan Kit Siang?
3. Soal yang sama juga ditanya oleh ahli dan pemimpin DAP yang benci
dan bermusuh dengan UMNO terutama dengan saya sendiri sebagai bekas
pemimpin UMNO sejak DAP ditubuh.
4. Amat sukar bagi ramai dalam kedua-dua parti yang bermusuh ini
menerima bahawa mereka yang menghadiri dan menandatangani deklarasi
menolak Najib, menghadiri bukan sebagai ahli dan pemimpin parti politik
atau gerakan, tetapi mereka hadir sebagai “citizen”, rakyat Malaysia
yang khuatir akan kesan buruk perlakuan Najib sebagai Perdana Menteri.
5. Bagi pemimpin UMNO, jika UMNO seperti UMNO dahulu dan segala
saluran untuk menghentikan perbuatan yang salah masih ada, penyelesaian
boleh dicari dalam parti.
Tetapi Najib sudah tutup semua saluran ini.
Hak ahli dalam UMNO, Mesyuarat Agong UMNO, Majlis Tertinggi UMNO sudah
tidak berfungsi lagi. Mulut anggota dan badan-badan dalam UMNO sudah
ditutup rapat oleh Najib dengan berbagai-bagai cara, dengan melumpuh
bukan sahaja badan-badan tertentu dalam parti tetapi melalui
institusi-institusi Kerajaan seperti polis, Peguam Negara, Surhanjaya
Pencegahan Rasuah, PAC dan lain-lain.
6. Tindakan Najib menekan bukan sahaja parti-parti politik tetapi juga keatas semua rakyat tanpa mengira kaum atau parti.
7. Dalam keadaan ini rakyat yang menjadi mangsa sudah lumpuh dan
tidak lagi dapat bergantung kepada parti politik mereka sendiri untuk
perlindungan, dan tidak pun melalui institusi Kerajaan yang ditugas
untuk melindungi keselamatan rakyat.
8. Bagi semua rakyat Malaysia hanya penyingkiran Najib sahaja yang
boleh memulihkan demokrasi negara. Tetapi rakyat tidak ada apa-apa
jentera yang boleh diguna untuk menyuara pendapat mereka pun.
9. Oleh itu tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang, terpaksa
membelakangkan pertubuhan dan perjuangan mereka supaya suara mereka
dapat diperdengarkan kepada semua. Mereka perlu bertindak sebagai
“citizen” (rakyat) dan bukan lagi sebagai parti atau badan-badan
tertentu.
10. Kesedaran inilah yang menyebabkan mereka yang bermusuh
membelakangkan permusuhan mereka buat sementara untuk menyelamatkan
negara tercinta. Mengutama parti masing-masing bermakna menyokong dan
mengekal rejim Najib.
11. Apabila demokrasi dan kebebasan di kembalikan maka perbezaan pendapat antara mereka bolehlah diteruskan.
12. Jika kita tidak faham, lihatlah keadaan dikalangan orang Islam di
Timur Tengah. Musuh mereka ialah Israel yang dibantu oleh Amerika
Syarikat.
13. Malangnya mereka lebih utamakan permusuhan sesama mereka,
permusuhan antara Sunni dengan Syiah, antara Fatah dengan Hamas, antara
Iran dengan Arab sehingga mereka lupakan musuh sebenar mereka, iaitu
Israel, dan mereka berperang sesama orang Islam.
14. Maka bertepuk tanganlah Yahudi dan Amerika.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment