Wednesday, March 09, 2016

Pertahanan Mahathir Lemah, Guna Semula Taktik Lama

EDITOR MENULIS...
9 MAC 2016
http://www.mykmu.net/wp-content/uploads/2016/03/mahathir.jpg
Tertekan dengan kritikan keras dan pedas ahli UMNO dan tokoh-tokoh Melayu ke atas beliau, Tun Mahathir Mohamad tampil mempertahankan diri dalam artikel terbaru beliau "UMNO dan DAP".

Jika dibaca keseluruhan tulisan tersebut ia merupakan lenggok dan nahu politik yang sama seperti mana digunakan oleh Mahathir untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman dan Abdullah Ahmad Badawi. Ia juga lenggok yang sama digunakan oleh Tengku Razaliegh Hamzah dan Anwar Ibrahim ketika menetang Mahathir.

Dengan kata lain mereka hanya mengulang-ulang skrip yang sama bersembunyi di belakang nama agenda rakyat.

Apabila Mahathir menulis, “Hak ahli dalam UMNO, Mesyuarat Agong UMNO, Majlis Tertinggi UMNO sudah tidak berfungsi lagi. Mulut anggota dan badan-badan dalam UMNO sudah ditutup rapat oleh Najib dengan berbagai-bagai cara, dengan melumpuh bukan sahaja badan-badan tertentu dalam parti tetapi melalui institusi-institusi Kerajaan seperti polis, Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, PAC dan lain-lain.”

“Tindakan Najib menekan bukan sahaja parti-parti politik tetapi juga keatas semua rakyat tanpa mengira kaum atau parti. Dalam keadaan ini rakyat yang menjadi mangsa sudah lumpuh dan tidak lagi dapat bergantung kepada parti politik mereka sendiri untuk perlindungan, dan tidak pun melalui institusi Kerajaan yang ditugas untuk melindungi keselamatan rakyat.” 

Bukankah ini perkara yang hampir sama dituduh oleh Mahathir ke atas Tunku Abdul Rahman selepas peristiwa 1965?

Bukankah perkara yang lebih kurang sama Ku Li tuduh Mahathir apabila beliau menentang Mahathir dan kemudiannya menubuhkan Semangat 46. Kemudiannya Ku Li bekerjasama dengan DAP dan PAS dengan sokongan bekas Ketua Hakim Negara yang dipecat?

Bukankah hal yang lebih kurang sama sama sahaja diucapkan oleh Anwar Ibrahim selepas dipecat oleh Mahathir?

Konteks yang hampir sama digunakan semula oleh Mahathir apabila menentang Pak Lah dan sekarang Mohd Najib Razak.

Soalnya, apakah ini realiti atau retorik? 

Ungkapan ini mungkin berkesan semasa zaman sebelum Najib kerana kewujudan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang memberi kuasa kepada kerajaan menahan tanpa bicara selama dua tahun.
Mahathir hampir ditangkap di bawah ISA oleh Tunku. Ku Li difitnah oleh media-media kawalan bawah Mahathir dan ISA masih wujud sehingga zaman Abdullah.

Soalnya apakah justifikasi untuk menyatakan kerajaan hari ini masih seperti zaman dulu disebalik pemansuhan ISA, liberalisasi media massa dan kewujudan media sosial yang tidak lagi dapat disekat oleh kerajaan.

Malah UMNO sendiri pada zaman Najib Razak membuka pemilihan sehingga ke akar umbi. Jika zaman Mahathir Mohamad hanya 2 ribu perwakilan menentukan siapa Presiden UMNO, hari ini lebih 200 ribu orang layak menentukan siapa Presiden UMNO.

Bolehkah pertukaran seorang peguam negara yang menjalani dialisis tiga kali seminggu pada zaman Mohd Najib disamakan dengan pemecatan Ketua Hakim Negara dan Lima Hakim Kanan Persekutuan?

Kesemua masalah yang disebutkan oleh Mahathir bagi mempertahankan kerjasama beliau dengan DAP sebenarnya lebih dahsyat dan teruk pada zaman beliau berbanding Mohd Najib.

Kerosakan imej kehakiman paling teruk berlaku pada Zaman Mahathir melalui pemecatan Ketua Hakim Negara, Hakim-hakim Kanan, dua kali krisis perlembagaan dengan raja-raja Melayu, pendakwaraya arah dibakar bukti video lucah bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, perbicaraan Anwar Ibrahim.

Kerosakan ekonomi negara yang teruk juga berlaku zaman Mahathir dengan kerugian RM 30 bilion wang Bank Negara, MAS hilang berbilion ringgit aset, Perwaja berkali-kali terpaksa diselamatkan dan ringgit mencapai tahap paling buruk dalam sejarah negara pada zaman Mahathir.

Rakyat mana yang lumpuh dan lemah hari ini seperti dakwaan Mahathir untuk menghalalkan kerjasama dengan DAP?

Hari ini pertumbuhan ekonomi negara berada pada paras 5%, pelaburan asing yang jauh lebih tinggi dari zaman sebelum Najib, perkhidmatan kesihatan yang sangat murah, perkhidmatan pendidikan yang disubsidi 90%, harga petrol yang kian murah berbanding 2 tahun lalu dan ringgit kembali pulih menghampiri. 

Justeru rakyatyang lumpuh dan lemah hanyalah Mahathir dan kroni-kroni beliau yang sudah kurang projek besar untuk membolehkan mereka berbelanja mewah, terbang dengan jet peribadi dan membeli istana di luar negara.

Cukuplah Tun Mahathir, tiada alasan masuk akal untuk Tun bekerjasama dengan DAP. 

Bertaubatlah sebelum suatu hari nanti anak cucu Melayu jijik menyebut nama Tun bila membaca sejarah kejatuhan UMNO kepada DAP!!

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhMoEhF9SBhGuMMWIV247Ei5tk94Gj0YZzzVJ89eF5zV2i_PTSXZix083XM6cNxgxRKqJVlk_dzM3qh_CPVXlkPkZB0_x5juQCeaPmBKncSpi1G3uh1xNh8OkMjfbMkCEyrUxxs6QiNXbsi/s1600/Debat+93.JPG
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment