UMNO tiada pilihan kecuali memecat Bekas Menteri
Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana mendedahkan perbicangan
sulit parti sehingga boleh menjejaskan kedudukan parti dari segi
persepsi masyarakat dan peraturan pilihan raya.
Mukhriz dalam satu rakaman video mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak mengakui bahawa BN membelanjakan RM1.5 bilion untuk pilihan
raya umum ke-13. Pengakuan tersebut dibuat dalam pertemuan dengan ketua
perhubungan Umno negeri tahun lalu.
Perbelanjaan BN sebanyak RM 1.5 bilion tersebut sekiranya dibawa ke
Mahkamah oleh parti lawan boleh menjadi satu pertarungan undang-undang
yang panjang dan rumit.
Ini kerana peraturan pilihan raya mengehadkan perbelanjaan setiap
calon sebanyak RM200,000. Jika mengambil kira calon BN berjumlah 221
untuk kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN, jumlah perbelanjaan purata
setiap calon sudah melebihi angka RM 1 juta.
Sudah tentu ia bergantung kepada tafsiran undang-undang kerana ada beza perbelanjaan calon dan parti dan pihak ketiga.
Namun yang menjadi isu di sini mengapa Mukhriz dalam keadaan mahu
menjatuhkan Presiden UMNO turut menyeret sama UMNO dan Barisan Nasional?
Ini dikatakan marah nyamuk dibakarnya kelambu. Menjelang pilihan raya
akan datang UMNO tidak mampu menanggung lagi serangan dari dalam yang
bakal merosakkan seluruh jentera parti seperti ini.
“Apa yang saya dapati pelik dan ingin tahu tentang RM2.6
bilion yang didakwanya derma (dari) Arab adalah jika beliau
membelanjakan RM1.5 bilion pada pilihan raya umum ke-13 maka yang
tinggal hanya RM1.1 bilion.
“Macam mana dia boleh kata pulangkan RM2.03 bilion balik kepada Arab? (Bagaimana baki dari RM1.1 bilion boleh jadi RM2 bilion?
“Benda ini budak-budak kecil pun boleh faham. Angka-angka semua ini
tidak betul.” katanya dalam video yang dimuat naik oleh blogger Din
Turtle di Youtube.
Mukhriz, yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad, berkata demikian kepada ahli-ahli akar umbi Umno pada satu
majlis di Kelantan pada Isnin lalu. – Malaysiakini.com
Mukhriz mungkin bodoh atau berpura-pura bodoh. Perbelanjaan pilihan
raya sudah tentu tidak datang dari satu akaun sahaja dan bersumberkan
Presiden UMNO sahaja.
Kita juga sangat aneh apabila Mukhriz mempertikaikan jumlah derma
yang dikembalikan. Mengapa beliau mahu mempertikaikan jumlah yang telah
dikembalikan?
Mungkin masuk akal jika beliau mempertikaikan jumlah yang
dibelanjakan kerana mahu tahu ketelusan perbelanjaan tersebut. Atau
mempertikaikan mengapa wang dikembalikan kurang dari sepatutnya kerana
ingin menuduh Presiden menyeleweng wang derma.
Tapi mempertikaikan wang yang dikembalikan kononnya melebihi sepatutnya sangat melucukan. Apa isu korupsi di sini?
Mukhriz tidak mungkin memahami sepak terajang pilihan raya kerana
selama ini orang lain yang bekerja mencari sumber kewangan dan menyusun
jentera parti. Beliau hanya menayangkan muka, menyampaikan salam bapanya
dan bergantung kepada aura bapanya.
Jika dalam produksi rancangan televisyen, Mukhriz adalah penyampai
berita yang menampilkan imej ceria, baik dan kemas bagi menarik minat
penonton.
Penyampai berita yang baru jarang memahami kesusahan penerbit,
editorial, jurukamera, jurusolek, pengarah susun latar dan penjaga lampu
mewujudkan bahan dan suasana yang menarik untuk satu penampilan
rancangan berita yang kemas, padat dan menarik minat ramai orang.
Dan yang selalu popular ialah penyampai berita kerana itu sahaja yang
orang nampak. Mengapa apabila penyampai berita tersebut berpindah ke
stesyen lain tiba-tiba populariti beliau menurun. Ini kerana pasukan
baru beliau tidak sehebat pasukan lama. Akhirnya beliau pudar begitu
saja.
Kita boleh terima jika kempen ini dijalankan menjelang pemilihan
UMNO. Namun apabila ia dibuat menjelang Pilihan Raya Umum ini merupakan
sabotaj kepada parti.
Sudah tiba masanya Mukhriz dipecat sebelum beliau merosakkan seluruh “Jentera UMNO dan Barisan Nasional.”
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment