KUALA LUMPUR : Biro Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)
UMNO Malaysia menawarkan pembiayaan pendidikan berbentuk biasiswa
sebanyak RM10 juta kepada 50 pelajar yang terpilih bagi mengikuti
pengajian di IPTS seluruh negara.
Pengerusinya, Datuk Razali Ibrahim berkata mereka yang berminat
bolehlah membuat permohonan sebelum penghujung bulan April ini dan
borang boleh di dapati di seluruh pejabat UMNO bahagian.
“Mungkin
pada sesetengah orang jumlah RM10 juta sedikit tetapi ini adalah
permulaan dan saya harap 50 tempat ini adalah satu kumpulan yang dapat
mengembalikan peluang kepada yang lain dengan jumlah yang lebih besar
dengan menunjukkan prestasi dan kejayaan.
“Saya juga percaya, tahun-tahun akan datang kalau perkara ini dapat
dipenuhi dengan baik maka jumlah itu boleh ditingkatkan,” ujarnya dalam
sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama biro itu sejak
ditubuhkan pada 29 Januari lalu.
Tambah Razali sejak ditubuhkan, biro ini telah mengadakan pelbagai
bentuk kajian tentang beberapa perkara yang boleh dicapai untuk memenuhi
hasrat penubuhan.
Jelasnya penubuhan biro ini adalah untuk membantu dan meninjau
tentang kedudukan mahasiswa mahasiswi bumiputera di kampus IPTS seluruh
negara.
“Kita mempunyai 512 buah IPTS dalam negara ini yang mana para pelajar
di semua IPTS ini berjumlah lebih kurang 490 ribu… daripada jumlah itu,
lebih kurang 22 ribu pelajar antarabangsa dan seramai 197 ribu pelajar
pula mewakili hampir 45 peratus pelajar bumiputera.
“Inilah antara tugas pertama biro ini untuk memastikan pelajar ini
dapat bersaing dan mengikuti pengajian dengan cara yang lebih baik.
Selain itu kita juga mendengar apakah rintihan dan permasalahan mereka
dalam mengejar kecemerlangan di IPTS.
“Di IPTA kita tahu pemantauan dapat dibuat dengan dekat.. di IPTS ini
atas kesedaran pentingnya pendidikan kepada Melayu bumiputera maka biro
ini diminta melihat permasalahan yang ada dan kita telah bersetuju,”
katanya lagi.
Selain itu tambah beliau sekiranya ada permintaan, Biro IPTS akan
turut memberi penerangan tentang apakah itu UMNO kepada mahasiswa dan
mahasiswi yang berminat untuk mengenali parti ini.
“Kalau nak tahu pasal UMNO jangan tanya pembangkang.. tanya kita dan
kita akan beri penjelasan supaya dapat kenal dalam keadaan yang lebih
adil kepada UMNO. Selain itu biro ini juga akan menyusun program-program
penerangan terhadap dasar-dasar kerajaan jika ada yang berminat untuk
kita berbuat demikian,” terang Razali seterusnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment