PKR tidak mahu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menentukan
hala tuju pentadbiran negara, termasuk memutuskan pemimpin yang akan
menjadi Perdana Menteri. Perkara itu ditegaskan Naib Presiden PKR, Nurul
Izzah Anwar yang mahu lebih banyak suara rakyat Malaysia dalam memilih
ketua kerajaan.
“Kita tidak mahu mantan diktator (Dr Mahathir) atau diktator terkini
(Datuk Seri Najib Razak) menentukan hala tuju masa depan Malaysia.
“Maka, sebab itu saya minta lebih ramai rakyat untuk lebih aktif untuk
memastikan diri mereka diwakili dalam pelbagai forum, termasuk Deklarasi
Selamatkan Malaysia,” katanya pada sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, usaha menggantikan Najib selaku
Perdana Menteri akan menjadi sia-sia, sekiranya sistem politik sedia ada
dikekalkan.
Katanya, sistem politik negara yang disifatkan bejat itu adalah warisan
pentadbiran Dr Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
“Bila sistemnya masih sama, penggantinya takkan mampu mengubah kebejatan
yang wujud. Apa bezanya kalau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi
Perdana Menteri?
“Saya lihat yang kita mahu bukan sahaja tukar Perdana Menteri, tetapi
menukar sistem yang kita warisi daripada Dr Mahathir,” katanya.
Nurul Izzah berkata, beliau kekal dengan matlamatnya untuk mengubah
institusi dan mendidik rakyat Malaysia meneruskan usaha itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment