Tuesday, April 05, 2016

Hadi Selar Mahathir.... Mahathir, Jangan Babitkan Pihak Lain Desak PM Berundur : Hadi

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelar tindakan bekas perdana menteri yang ingin membawa satu juta tandatangan ke istana bagi menuntut Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.

Katanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sepatutnya tidak perlu membabitkan pihak lain dalam rancangannya membuat sebarang perubahan.

Ini kerana jelas Ahli Parlimen Marang itu, sebarang perubahan haruslah dibuat melalui proses demokrasi yang sebenar.

“Kita tak mahu menarik pihak-pihak lain yang tidak perlu ditarik dalam sebarang perubahan, kita ada parti politik, ada NGO ada pihak lain, terpulang kepada mereka,” kata Abdul Hadi di Lobi Parlimen, Selasa.

Beliau mengulas tindakan Tun Mahathir melancarkan gerakan ‘Save Malaysia’ menuntut Najib supaya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kerana didakwa telah membuat beberapa penyelewengan sehingga menyusahkan rakyat.

Gerakan tersebut dibuat dengan kerjasama pembangkang yang mempunyai misi berbeza iaitu menuntut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tahanan penjara.

Namun, Hadi menyelar ia adalah satu tindakan tidak wajar kerana perkara itu belum diputuskan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Ia termasuklah kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Perdana Menteri sehingga banyak pihak sudah menganggap Najib telah melakukan kesalahan.

“Kita bukan sahaja khusus kepada 1MDB, malah kita tolak kepada semua penyelewengan tetapi ia perlu disiasat terlebih dahulu, kita tak mahu menghukum sebelum disiasat dengan cara yang betul.

“Perundangan Islam yang kita perjuangkan, seseorang tidak bersalah selagi ia dijatuhkan kesalahan, ia mesti dibuktikan dulu, maka pendekatan ini yang perlu dipelihara dengan baik,” tambahnya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment