KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Hj Nawawi
Hj Ahmad percaya walau pun kebenaran terbentang di depan mata sekali pun
berhubung derma RM2.6 bilion ianya tetap tidak akan memuaskan hati
pembangkang dan perkara itu akan terus dimanipulasi serta dijadikan
senjata mainan politik khususnya dalam usaha memburukkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Justeru beliau penuh yakin penjelasan Menteri Luar Arab Saudi, Adel
Al-Jubeir bahawa derma itu datang daripada negaranya sedikit pun tidak
akan menurunkan suhu pembangkang untuk memanipulasi perkara berkenaan
sebaliknya mungkin akan mencari fitnah-fitnah baru untuk dilemparkan
kepada masyarakat umum.
“Alhamdulillah..akhirnya
kebenaran terbentang di depan mata. Namun seperti mana yang
diperkatakan tadi, ini sedikit pun tidak akan menginsafkan mereka kerana
kepentingan politik adalah segala-galanya.
“Hari ini mereka mungkin malu alah setelah serangan serta tohmahan
sebelum ini berhubung perkara terbabit telah dijawab dan diberikan
penjelasan oleh Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir.
“Percayalah…ia tidak akan terhenti begitu sahaja. Selepas ini mungkin
akan timbul pula kenapa begitu dan kenapa jadi begini. Macam-macamlah
akan timbul kelak. Ini sememangnya mainan politik pembangkang yang hidup
atas fitnah dan manipulasi fakta,” katanya kepada media, di sini,
hari ini.
Pada Jumaat lalu, Al-Jubeir ketika ditemui pemberita selepas
pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di
luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di Istanbul,
Turki mengaku bahawa sumbangan RM2.6 bilion kepada Najib memang datang
daripada Riyadh.
Nawawi seterusnya percaya pengakuan daripada Al-Jubeir adalah
pengakuan yang ikhlas dan tanpa didorong oleh mana-mana pihak dan sudah
tentulah pengakuannya membuktikan segala dakwaan pembangkang sebelum ini
yang giat memanipulasi isu RM2.6 bilion terjawab.
Katanya seperti mana dalam permainan catur, pengakuan Menteri Luar
Arab Saudi terbabit adalah ‘check mate‘ dan perkara itu sudah tidak
relevan lagi untuk dijadikan modal politik.
“Tetapi memahami gaya politik pembangkang mereka tidak akan hidup
tanpa fitnah dan kita sebenarnya cukup bersedia untuk menghadapi apa jua
serangan mereka kerana selagi kita berpegang kepada kebenaran maka apa
jua fitnah yang mendatang kita mampu menanganinya.
“Cuma kepada seluruh rakyat jadikan ini sebagai contoh dan janganlah
cepat melatah dan janganlah sesekali menerima bulat-bulat apa yang
dilontarkan kerana akhirnya tidak lari daripada tujuan dan kepentingan
politik semata-mata,” ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment