ISKANDAR PUTERI : Kerajaan Johor sedang berusaha untuk
membantu siswazah menganggur khususnya di kawasan Iskandar Malaysia
mendapatkan pekerjaan dengan memperkenalkan program baharu bersama-sama
pihak industri.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha
terbabit masih dalam peringkat perbincangan antara kedua-dua pihak dan
ia bakal diumumkan tidak lama lagi.
“Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan negeri juga akan menjalankan
kerjasama dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
“Usaha ini merupakan kerjasama bersama industri. Kita (kerajaan
negeri) cuba untuk membantu, mencari cara bagaimana hendak menggalakkan
pihak industri menawarkan pekerjaan kepada pelajar lepasan universiti
yang tidak bekerja,” kata beliau.
Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan
majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Legoland Malaysia
Resort dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini Isnin.
Perjanjian untuk tempoh dua tahun itu dimeterai Naib Canselor UiTM,
Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Pengarah Sumber Manusia Legoland
Malaysia Resort, Murni Masrom.
Menerusi perjanjian itu, Legoland Malaysia Resort bersetuju untuk
menerima pelajar UiTM menjalani latihan industri dalam bidang
perkhidmatan pengurusan hotel dan pelancongan, memperkukuh hubungan
bersama di samping bertukar kepakaran dan idea.
Setakat ini, Legoland Malaysia Resort telah menawarkan peluang
latihan industri kepada 247 mahasiswa dari lebih 40 kolej dan universiti
seluruh Malaysia.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyarankan pihak syarikat dan
majikan di kawasan Iskandar Malaysia supaya memberi gaji yang setimpal
kepada pekerja terutama siswazah yang berkemahiran.
“Sekiranya majikan tidak memberi gaji yang setimpal kepada pekerja
yang telah menerima latihan, mereka akan tinggalkan pekerjaan dan
beralih ke Singapura atau sebagainya,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment