KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Isnin
merasmikan sistem Lokap Pintar rekaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM),
yang dipamerkan pada Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan
Asia 2016 (DSA 2016) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Perdana menteri, yang tiba di tapak pameran DSA 2016 pada 3.35 petang,
meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk mendengar taklimat dan melihat
sendiri fungsi lokap berkenaan sebelum menandatangani plak perasmian
sistem lokap itu.
Taklimat itu disampaikan Timbalan Pengarah III Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi PDRM SAC Sahabudin Abdul Manan.
Sistem Lokap Pintar direka PDRM dengan kerjasama Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi serta dibangunkan oleh Institut Sistem
Mikroelektronik Malaysia (MIMOS).
Buat permulaan, sistem itu dipasang di lokap berpusat Balai Polis
Jinjang sebagai projek perintis sebelum diperluas penggunaannya di semua
balai polis di seluruh negara.
Ketua Lokap Berpusat Jinjang ASP Edmond Wong berkata sistem itu
dipasang di semua lokap di tingkat satu balai itu pada Februari lepas.
"Sistem Lokap Pintar ini dilengkapi dengan kamera yang akan merakam
setiap pergerakan tahanan, dan sekiranya terdapat tingkah laku yang
mencurigakan, sistem ini akan menghantar amaran awal kepada pegawai yang
bertugas.
"Ini memudahkan pihak polis untuk mengambil tindakan awal dengan lebih
cepat bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini," katanya
kepada Bernama.
Wong berkata sistem itu juga berjaya mengoptimumkan produktiviti operasi lokap serta menjamin keselamatan setiap tahanan.
Sistem itu memenangi Anugerah Inovasi Perusahaan Asia Pasifik 2015 (Kategori Kerajaan) tahun lepas.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment