Tuesday, April 19, 2016
Mahkamah Buat Keputusan Betul Ketepikan Saman Anina Dipecat UMNO – Peguam
PUTRAJAYA : Mahkamah Rayuan pada Isnin diberitahu bahawa
Mahkamah Tinggi membuat keputusan betul apabila mengetepikan saman
anggota Wanita UMNO Langkawi Anina Saadudin berhubung pemecatannya
daripada parti itu.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata mengikut Seksyen 18C Akta
Pertubuhan 1966, adalah jelas dari segi undang-undang bahawa keputusan
yang dibuat sesebuah parti politik adalah muktamad, konklusif dan tidak
boleh dicabar, disemak semula atau dirayu di mana-mana mahkamah.
“Kami menghujahkan bahawa keputusan dibuat hakim Mahkamah Tinggi
adalah betul dan adalah jelas bahawa relif yang dimohon Anina itu adalah
berkaitan surat yang menjadi persoalan (surat pemecatan), Perkara 20.7
Perlembagaan parti itu dan pemberhentiannya sebagai anggota UMNO, jelas
terletak di bawah bidang kuasa UMNO sendiri,” katanya.
Mohd Hafarizam berhujah pada rayuan Anina terhadap keputusan Mahkamah
Tinggi menolak samannya terhadap Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri
Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf
Yusoh.
Mohd Hafarizam, yang mewakili dua responden itu berkata, UMNO adalah
parti politik yang didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan 1966 di mana
semua perkara berkaitan pemecatan sebagai anggota UMNO terletak di bawah
bidang kuasa parti itu.
“Perlembagaan itu sendiri merupakan sebahagian daripada kontrak
antara Anina dan Umno sebagai parti politik dan kedua-duanya terikat
oleh terma Perlembagaan itu,” katanya.
Menurutnya sekiranya Anina ingin mencabar keputusan pemecatannya,
beliau boleh merujuk perkara itu kepada Majlis Tertinggi UMNO mengikut
Perkara 20.11 perlembagaan parti.
Bagaimanapun, katanya, Anina tidak menggunakan semua peraturan UMNO
bagi menyelesaikan perkara berkaitan haknya sebagai anggota parti itu
sebelum memfailkan saman.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Anina, dalam
hujahnya berkata Mahkamah Tinggi menolak saman kliennya semata-mata
berdasarkan Seksyen 18C tanpa memberi Anina peluang untuk mencabar
pemecatannya daripada UMNO mengikut Perkara 20.7 Perlembagaan UMNO.
Beliau berkata Perkara 20.7 belum terpakai lagi kerana ia menyentuh
tentang pemberhentian sebagai anggota dan ia melanggar hak kliennya
untuk bebas berperpesatuan.
Hakim Datuk David Wong Dak Wah yang mempengerusikan panel tiga hakim
termasuk Hakim Datuk Dr Badariah Sahamid dan Hakim Harmindar Singh
Dhaliwal menetapkan Khamis ini sebagai tarikh membuat keputusan
berhubung rayuan Anina.
Pada 7 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak saman Anina
dengan alasan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar
pertikaiannya dalam UMNO setelah membenarkan permohonan Tengku Adnan dan
Ab Rauf untuk mengetepikan saman itu.
Pada 5 Oktober tahun lepas, Anina memfailkan saman terhadap Tengku
Adnan dan Ab Rauf, antara lain, bagi mendapatkan perintah bahawa dua
surat pemecatan yang dikeluarkan Tengku Adnan adalah tidak sah dan tidak
menjejaskan keanggotaannya dalam UMNO.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment