Tuesday, April 19, 2016
Pan Borneo Beri Kesan, Makna Besar Kepada Rakyat Sarawak, Kata Najib
SIBU : Lebuh Raya Pan Borneo bukan sekadar projek
mega semata-mata tetapi projek yang memberi kesan dan makna besar kepada
seluruh lapisan masyarakat di Sarawak, kata Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Beliau berkata projek lebuh raya itu yang diimpikan sejak berpuluh
tahun yang lalu bakal membawa sektor kawasan luar bandar ke dalam arus
perdana pembangunan di negara ini.
“Ini dikatakan ‘the game changer’ (pencetus perubahan) yang
membawa perubahan besar, sebab boleh dekatkan orang di kawasan luar
bandar dengan pasaran, permintaan untuk produk mereka akan meningkat.
“Ini akan mengubah peluang ekonomi untuk kawasan luar bandar,”
katanya semasa melancarkan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak bagi
jajaran dari Simpang Bintangor ke Simpang Julau dan Lapangan Terbang
Sibu ke Jambatan Sungai Kua, di sini hari ini.
Lebih daripada itu, menurut Najib, secara psikologi lebuh raya itu
nanti akan dapat merangsang minda dan hati anak-anak di luar bandar
dengan keinginan untuk mengejar kemajuan.
Oleh yang demikian, Perdana Menteri tidak mahu projek itu menjadi
seperti projek mega lain yang berdepan dengan pelbagai masalah.
“Saya kata jangan ulang kesilapan (projek empangan hidro) Bakun.
Jangan bagi kepada kontraktor yang tidak dapat buat apa, bagi kepada
kontraktor yang mampu melakukannya.
“Orang tengok ada empangan besar, ada kabel kuasa tapi rumah panjang
di bawahnya (kawasan itu) tiada bekalan elektrik. Saya kata tak boleh …
(projek) Bakun dibuat bukan pada zaman saya. Ia dibuat pada zaman orang
lain, zaman orang yang memerintah 22 tahun. Itu cerita lain,” katanya.
Najib berkata, kontrak pelaksanaan lebuh raya itu diberikan
kepada kontraktor tempatan yang turut terdiri daripada kontraktor
Bumiputera kelas F dan akan dipastikan segala limpahan projek itu akan
memenuhi kehendak penduduk setempat.
Katanya, perhentian-perhentian bas akan dibina di sepanjang lebuh
raya itu dan akan disediakan tempat-tempat bagi masyarakat luar bandar
untuk menjual produk-produk pertanian mereka.
“Kalau tak cukup (tempat untuk) jual tepi lebuh raya boleh jual ke
Kuching sebab kalau dulu (perjalanan) Kuching-Sibu (selama) enam jam,
dengan lebuh raya Pan Borneo ini nanti tiga jam sahaja,” katanya.
Beliau berkata jajaran sepanjang 76.2km tersebut menelan belanja
RM1.7 bilion dan sebanyak 68 syarikat kontraktor Bumiputera Sarawak akan
melaksanakan pelbagai kerja kontrak yang berjumlah RM533.8 juta.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan surat anugerah
projek dan surat niat kepada 78 syarikat kontraktor dengan 77
daripadanya adalahsyarikat Bumiputera Sarawak bagi kerja-kerja pembinaan
lebuh raya tersebut.
Selain itu, Najib dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang
turut hadir pada majlis itu menyampaikan pampasan tanah kepada
pemilik-pemilik tanah yang terbabit dengan pelaksanaan jajaran projek
tersebut.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment