Wednesday, January 07, 2015

Bantuan Awal Persekolahan Mula Diagihkan

7 Januari 2015 : Bagi sebahagian besar ibu bapa pelajar sekolah rendah dan menengah, berita mengenai Bantuan Awal Persekolahan yang mula diagihkan sejak semalam tentunya disambut dengan penuh kelegaan dan kesyukuran.

Sebelum ini ramai yang menjangkakan mungkin seminggu selepas sesi persekolahan bermula baru bantuan tersebut dapat dituntut, rupanya kali ini ia telah diawalkan berikutan musibah banjir yang melanda beberapa negeri.

Nilai bantuan RM100 bagi setiap pelajar mungkin bagi sesetengah pihak ia dirasakan kecil atau sedikit tapi bagi ramai ibu bapa yang kenal erti kesyukuran pasti mereka berbesar hati menerima bantuan ini.

Ibu bapa yang kesuntukan wang ringgit selepas berbelanja membeli pakaian dan kelengkapan sekolah anak-anak sebelum ini, dapatlah memanfaatkan wang bantuan ini untuk cover semula kewangan mereka.

Ibu bapa yang mempunyai ramai anak yang sedang bersekolah sudah tentunya paling terkesan dan menarik lafaz lega yang panjang sebaik menerima bantuan tersebut. Kurang sedikit tekanan perbelanjaan mereka.

Pelajar-pelajar dari keluarga kurang berkemampuan yang belum ada pakaian, kasut dan lain-lain keperluan sekolah kini boleh tersenyum gembira kerana dengan wang bantuan inilah keperluan persekolahan mereka dapat disediakan.

Dengan adanya bantuan awal persekolahan ini juga para ibu bapa yang menjadi mangsa banjir di Kelantan, Pahang, Terengganu, Johor dan beberapa negeri lain dapat memanfaatkannya bagi membeli semula baju sekolah yang hanyut atau rosak.

Demikian besar maknanya pemberian bantuan kewangan persekolahan ini bagi ramai ibu bapa tatkala ia dirasakan kecil oleh sesetengah pihak. Apa pun terima kasih tak terhingga kepada Kerajaan Pusat kerana prihatin dengan keperluan rakyat.
KOTA BHARU 6 Jan. Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 yang diperuntukkan kepada 5.6 juta murid dan pelajar di seluruh negara boleh dituntut di sekolah masing-masing bermula hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, agihan bantuan tersebut dipercepatkan bagi meringankan beban ibu bapa terutama mangsa banjir untuk membuat persiapan sebelum sesi persekolahan bermula Ahad dan Isnin ini.

Beliau berkata, bagi sekolah yang masih tidak dapat digunakan akibat bencana alam itu, ibu bapa boleh membuat tuntutan di sekolah berhampiran yang ditetapkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah.

“Agihan bantuan RM100 kepada murid bermula hari ini, telah ada peruntukan, kita sudah bagi waran kepada Pengarah Pendidikan negeri maka RM100 boleh dituntut.

“Kita mahu supaya pembayaran dilaksanakan dalam tempoh segera, arahan saya telah keluarkan petang ini dan kita mulakan penyampaian bantuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Koordinasi Pelan Tindakan Pasca Banjir di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Tan Sri Shukry Mohd. Salleh; Panglima Ang­katan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memastikan sesi persekolahan pada tahun ini berjalan mengikut jadual biarpun telah ditangguhkan selama seminggu kerana banjir sebelum ini.

“Ada beberapa pilihan yang kita fikirkan mengikut keadaan umpamanya, sekolah yang masih didia­mi oleh mangsa banjir dan belum boleh dibuka, cadangan kita, adalah pelajar boleh menumpang di sekolah berhampiran, itu Pengarah Pendidikan negeri dan Pegawai Pendidikan Daerah akan tetapkan.

“Kalau tidak ada tempat langsung mungkin kita akan tangguhkan sedikit waktu, tetapi penting kita tetapkan sebaik mungkin mengikut jadual.

“Di Kelantan terdapat 90 buah sekolah terjejas tetapi 30 peratus sudah mula dibersihkan, ada berbaki lagi, dalam tempoh seminggu perlu segera dibersihkan, kita lihat bagaimana keadaan, harap tidak terganggu jadual persekolahan murid,” katanya. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment