Sunday, July 26, 2015

Justogate: Jangan Biar Mereka Terlepas

Topik utama dalam majlis berhari raya di kampung ma­hu­pun bandar sekarang ialah Skandal Justogate dan 1MDB. Kisah ini bertambah menarik apabila pengkhianat negara sekarang sanggup menyuap rasuah sehingga RM7.6 juta (AS$2 juta) untuk mendapatkan maklumat berkaitan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Jumlah suapan itu didedahkan oleh bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo berhubung dakwaaan mengenai pertemuan sulit dengan seorang ahli perniagaan di Singapura.

Siapa yang menawarkan wang sejumlah itu, biar pihak po­lis membuat siasatan dengan menyoal siasat Justo di Thailand dahulu. Matlamat utamanya mungkin sudah dapat kita ba­yang­kan sekarang.

Justo ditawarkan wang yang cukup lumayan itu untuk menyelewengkan maklumat kepada beberapa nama peng­khia­nat sewaktu mereka bertemu di Singapura.

Daripada pengakuan Justo kepada pasukan penyiasat di Thailand mendedahkan wujud pihak dari dalam dan luar negara yang sengaja mahu memutar-belitkan isu berkaitan 1MDB. Agenda busuk mereka adalah untuk memburuk-buruk kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh pemimpin Melayu.

Justo bertemu dengan kira-kira 10 orang, daripada media dan daripada kalangan ahli politik. Warga Switzerland itu di­la­porkan menjual data yang telah diambil daripada Pet­ro­Saudi untuk dijual kepada kumpulan tersebut.

Bukti yang didakwa Justo berlaku komplot mendapatkan dokumen berkaitan 1MDB itu wujud dalam bentuk transkrip penuh dengan semua perbualan WhatsApp beliau dengan kumpulan itu semasa rundingan dan perbincangan mereka tentang bagaimana beliau akan dibayar.

Kisah Justo bertemu beberapa individu warga Malaysia di Singapura itu menjelaskan wujud satu komplot. Namun ber­da­sarkan perkembangan terbaharu ini, mereka yang terlibat dalam pertemuan sulit itu pasti kepanasan punggung sebab mereka mungkin didakwa mahu menjatuhkan kerajaan pim­pinan Datuk Seri Najib Tun Razak secara tidak demokratik.

Tunggu sahaja pendedahan nama 10 orang yang terlibat ber­te­mu Justo apabila pasukan penyiasat yang mungkin diketuai oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ke Thailand untuk menyoal siasat bekas eksekutif PetroSaudi itu tidak lama lagi.

Bukan sahaja Sarawak Report yang menjadi penyebar mak­lumat berunsur fitnah, bahkan The Edge turut terlibat apa­bila menerbitkan laporan mendakwa bahawa 1MDB dan rakan usahasamanya, PetroSaudi International, telah menipu rakyat Malaysia berbilion ringgit.

Maklumat

Dengan penahanan Justo oleh polis Thailand, portal pem­bang­kang itu akhirnya mengaku menggunakan maklumat yang dicuri oleh Justo.

Memetik kata Pengarah Komu­nikasi dan Strategi Ba­ri­san Nasional, Datuk Abdul Rah­man Dahlan, jika Justo tidak di­tang­kap sehingga hari ini, pasti por­tal pembangkang itu tidak akan mengaku maklumat yang di­perolehi sehingga hari ini.

Justo – yang kini ditahan di pen­jara di Thailand kerana cuba me­meras ugut bekas majikannya, Pe­troSaudi, men­dedahkan bahawa dia dijanjikan RM7.6 juta sebagai pertukaran untuk data di­am­bilnya daripada bekas ma­ji­kannya.

Sudah pasti maklumat itu amat ber­har­ga sampai sanggup bayar har­ga yang mahal. Tetapi apabila men­dapati maklumat yang ada tidak me­muaskan hati, sebab itu dalam interbiu di penjara Thailand dengan akhbar Singapura The Straits Times, Justo mendakwa beliau tidak per­nah menerima bayaran yang dijanjikan oleh ahli perniagaan ter­kenal dari Ma­laysia itu.

Orang otak penipu ligat cari jalan memperdayakan orang lain. Tidak hairanlah kalau dokumen yang tidak wujud penyelewengan itu terpaksa diubah supaya sesuai untuk menjadi bahan fitnah.

Plot penyiasatan perihal 1MDB makin menarik, peng­khianat su­dah tidak senang duduk. Justo ke­na tipu hidup-hidup oleh salah se­o­rang pengkhianat yang berhajat sangat menggulingkan Najib. Kita tunggu perkembangan se­lan­jutnya.

Sejak selesai Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2008 dan ke­mu­dian PRU 2013, tidak henti-henti parti pembangkang mahu memporak-perandakan urusan pentadbiran kerajaan dengan pelbagai dakwaan palsu dan fitnah yang disebarkannya. Setelah memburuk-burukkan beberapa pemimpin utama kerajaan dan serangan ke atas agensi kerajaan dan GLC, kemuncaknya ialah serangan ter­hadap Najib pula selaku Perdana Menteri.

Inilah perancangan pihak pembangkang yang begitu mudah mempengaruhi minda rakyat dengan momokan cerita fitnah. Namun rakyat kita yang terdedah dengan maklumat daripada media baru begitu mudah pula menelan bulat-bulat berita fitnah daripada pemimpin pembangkang.

Rakyat Malaysia sekarang seolah-olah lebih percayakan persepsi dan spekulasi, sementara fakta yang betul ditolak be­gitu sahaja. Segelintir daripadanya bagaikan hendak sangat Na­jib berundur. Fikirkanlah, jika Najib boleh ditumbangkan de­ngan persepsi dan fitnah, apakah pengganti Najib tidak boleh dijatuhkan dengan strategi yang sama? Tidak ada ja­minan.

Sudah ada tanda-tanda kebangkitan mahu memperlekehkan kepimpinan yang diterajui oleh orang Melayu. Ingat tidak sepanjang Ramadan lalu, puak-puak pakatan pembangkang rajin menghidangkan fitnah kepada umat Islam dan Melayu untuk menu sahur dan berbuka puasa.

Namun, akhirnya keadaan bertukar apabila polis Thailand ber­­jaya menahan dan menyoal siasat Justo. Justogate meng­hi­dangkan kebenaran untuk hidangan di Hari Raya Aidilfitri. 

Dalam kes Justogate ini, kita akan lihat siapa yang akan ter­kena. Bak kata orang utara – siapa yang akan menjadi kalut. Macam mana de­gu­pan jantung 10 orang yang pernah bertemu dengan Justo?

Kita ingin kebenaran di­tegakkan. Kepada pihak berkuasa, ber­tin­daklah ke atas individu rakyat Malaysia yang terlibat dalam kon­spi­rasi yang berbekalkan dokumen curi yang diubah suai semata-mata mahu menjatuhkan kerajaan.

Golongan ini memang patut dikenakan tindakan undang-undang kerana telah merosakkan nama baik kerajaan dan ne­­­gara Malaysia. Sudah banyak masa dan tenaga dihabiskan se­panjang tempoh tujuh bulan dalam tahun 2015 ini, jangan biarkan mereka terlepas.

Azman Anuar
Utusan

No comments:

Post a Comment