Utusan
Sunday, July 26, 2015
Justogate: Jangan Biar Mereka Terlepas
Topik utama dalam majlis berhari raya di kampung
mahupun bandar sekarang ialah Skandal Justogate dan 1MDB. Kisah ini
bertambah menarik apabila pengkhianat negara sekarang sanggup menyuap
rasuah sehingga RM7.6 juta (AS$2 juta) untuk mendapatkan maklumat
berkaitan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Jumlah suapan itu
didedahkan oleh bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre
Justo berhubung dakwaaan mengenai pertemuan sulit dengan seorang ahli
perniagaan di Singapura.
Siapa yang menawarkan wang sejumlah itu, biar pihak polis membuat
siasatan dengan menyoal siasat Justo di Thailand dahulu. Matlamat
utamanya mungkin sudah dapat kita bayangkan sekarang.
Justo ditawarkan wang yang cukup lumayan itu untuk menyelewengkan
maklumat kepada beberapa nama pengkhianat sewaktu mereka bertemu di
Singapura.
Daripada pengakuan Justo kepada pasukan penyiasat di Thailand
mendedahkan wujud pihak dari dalam dan luar negara yang sengaja mahu
memutar-belitkan isu berkaitan 1MDB. Agenda busuk mereka adalah untuk
memburuk-buruk kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh pemimpin Melayu.
Justo bertemu dengan kira-kira 10 orang, daripada media dan daripada
kalangan ahli politik. Warga Switzerland itu dilaporkan menjual data
yang telah diambil daripada PetroSaudi untuk dijual kepada kumpulan
tersebut.
Bukti yang didakwa Justo berlaku komplot mendapatkan dokumen
berkaitan 1MDB itu wujud dalam bentuk transkrip penuh dengan semua
perbualan WhatsApp beliau dengan kumpulan itu semasa rundingan dan
perbincangan mereka tentang bagaimana beliau akan dibayar.
Kisah Justo bertemu beberapa individu warga Malaysia di Singapura itu
menjelaskan wujud satu komplot. Namun berdasarkan perkembangan
terbaharu ini, mereka yang terlibat dalam pertemuan sulit itu pasti
kepanasan punggung sebab mereka mungkin didakwa mahu menjatuhkan
kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak secara tidak demokratik.
Tunggu sahaja pendedahan nama 10 orang yang terlibat bertemu Justo
apabila pasukan penyiasat yang mungkin diketuai oleh Ketua Polis Negara
Tan Sri Khalid Abu Bakar ke Thailand untuk menyoal siasat bekas
eksekutif PetroSaudi itu tidak lama lagi.
Bukan sahaja Sarawak Report yang menjadi penyebar maklumat berunsur
fitnah, bahkan The Edge turut terlibat apabila menerbitkan laporan
mendakwa bahawa 1MDB dan rakan usahasamanya, PetroSaudi International,
telah menipu rakyat Malaysia berbilion ringgit.
Maklumat
Dengan penahanan Justo oleh polis Thailand, portal pembangkang itu
akhirnya mengaku menggunakan maklumat yang dicuri oleh Justo.
Memetik kata Pengarah Komunikasi dan Strategi Barisan Nasional,
Datuk Abdul Rahman Dahlan, jika Justo tidak ditangkap sehingga hari
ini, pasti portal pembangkang itu tidak akan mengaku maklumat yang
diperolehi sehingga hari ini.
Justo – yang kini ditahan di penjara di Thailand kerana cuba
memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi, mendedahkan bahawa dia
dijanjikan RM7.6 juta sebagai pertukaran untuk data diambilnya
daripada bekas majikannya.
Sudah pasti maklumat itu amat berharga sampai sanggup bayar harga
yang mahal. Tetapi apabila mendapati maklumat yang ada tidak memuaskan
hati, sebab itu dalam interbiu di penjara Thailand dengan akhbar
Singapura The Straits Times, Justo mendakwa beliau tidak pernah
menerima bayaran yang dijanjikan oleh ahli perniagaan terkenal dari
Malaysia itu.
Orang otak penipu ligat cari jalan memperdayakan orang lain. Tidak
hairanlah kalau dokumen yang tidak wujud penyelewengan itu terpaksa
diubah supaya sesuai untuk menjadi bahan fitnah.
Plot penyiasatan perihal 1MDB makin menarik, pengkhianat sudah
tidak senang duduk. Justo kena tipu hidup-hidup oleh salah seorang
pengkhianat yang berhajat sangat menggulingkan Najib. Kita tunggu
perkembangan selanjutnya.
Sejak selesai Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2008 dan kemudian PRU
2013, tidak henti-henti parti pembangkang mahu memporak-perandakan
urusan pentadbiran kerajaan dengan pelbagai dakwaan palsu dan fitnah
yang disebarkannya. Setelah memburuk-burukkan beberapa pemimpin utama
kerajaan dan serangan ke atas agensi kerajaan dan GLC, kemuncaknya ialah
serangan terhadap Najib pula selaku Perdana Menteri.
Inilah perancangan pihak pembangkang yang begitu mudah mempengaruhi
minda rakyat dengan momokan cerita fitnah. Namun rakyat kita yang
terdedah dengan maklumat daripada media baru begitu mudah pula menelan
bulat-bulat berita fitnah daripada pemimpin pembangkang.
Rakyat Malaysia sekarang seolah-olah lebih percayakan persepsi dan
spekulasi, sementara fakta yang betul ditolak begitu sahaja. Segelintir
daripadanya bagaikan hendak sangat Najib berundur. Fikirkanlah, jika
Najib boleh ditumbangkan dengan persepsi dan fitnah, apakah pengganti
Najib tidak boleh dijatuhkan dengan strategi yang sama? Tidak ada
jaminan.
Sudah ada tanda-tanda kebangkitan mahu memperlekehkan kepimpinan yang
diterajui oleh orang Melayu. Ingat tidak sepanjang Ramadan lalu,
puak-puak pakatan pembangkang rajin menghidangkan fitnah kepada umat
Islam dan Melayu untuk menu sahur dan berbuka puasa.
Namun, akhirnya keadaan bertukar apabila polis Thailand berjaya
menahan dan menyoal siasat Justo. Justogate menghidangkan kebenaran
untuk hidangan di Hari Raya Aidilfitri.
Dalam kes Justogate ini, kita
akan lihat siapa yang akan terkena. Bak kata orang utara – siapa yang
akan menjadi kalut. Macam mana degupan jantung 10 orang yang pernah
bertemu dengan Justo?
Kita ingin kebenaran ditegakkan. Kepada pihak berkuasa,
bertindaklah ke atas individu rakyat Malaysia yang terlibat dalam
konspirasi yang berbekalkan dokumen curi yang diubah suai semata-mata
mahu menjatuhkan kerajaan.
Golongan ini memang patut dikenakan tindakan undang-undang kerana
telah merosakkan nama baik kerajaan dan negara Malaysia. Sudah banyak
masa dan tenaga dihabiskan sepanjang tempoh tujuh bulan dalam tahun
2015 ini, jangan biarkan mereka terlepas.
Azman Anuar
Utusan
Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment