Monday, October 19, 2015

AMANAH “Hacked” Blog PAS Di Kedah?

hadifastaqim
Sebagaimana maklum, PAS kini terpecah dua di mana parti itu yang kembali dikuasai oleh kepimpinan ulama telah berpisah “taklik” dengan golongan progresif PAS yang membentuk Parti Amanah Negara (Amanah) baru-baru ini. Saya kira, semua pihak tahu tentang itu dan tidak perlu diulas.

Terkini, PAS telah menganjurkan Himpunan Fastaqim di Kota Bharu, Kelantan. Saya difahamkan himpunan yang meletakkan sasaran menghimpun seramai 60,000 ahli dan penyokong PAS itu hanya berjaya mengumpul seramai 40,000 orang sahaja.

Dari jumlah itu, saya menyimpulkan defisit jumlah kehadiran Himpunan Fastaqim adalah seramai 20,000 orang.

Ketika di himpunan yang turut dikenali sebagai H60k tapi tidak sampai 60k itu, PAS mendakwa parti mereka telah pulih dan bakal kembali menggegarkan medan politik negara. Kononnya, PAS makin kuat dan bersih tanpa mereka yang digelar sebagai “syaitan dalam jemaah” yang menyertai Amanah.

Namun pada pandangan saya, kekuatan PAS yang terkini sebenarnya tidaklah mencapai 100 peratus pulih dan kuat seperti sebelumnya. Itupun jika boleh diisitilahkan sebagai “kuat”lah. Saya lebih positif untuk mengatakan PAS kini hanya memilik 2/3 kekuatan sahaja.

Kenapa? Ini adalah kerana PAS hilang 20,000 penyokong tegar di Himpunan Fastaqim yang berlangsung di Kelantan yang menjadi kubu terkuat parti itu. PAS perlu akui hakikat itu dan tidak perlulah mendabik dada tunjuk kuat sangat di mata umum…

Selain itu, PAS juga masih lagi berstatus solo sejak diceraikan DAP dari gabungan parti-parti pembangkang. Jika dulu ada yang mendakwa PAS mendapat dana dan sokongan dari rakan sekutunya, maka kini tidak lagi begitu. “PAS is on their own now”, kata orang putih.

Sekiranya kita melihat dari sudut mikro-politik, khususnya di peringkat negeri Kedah, PAS di negeri itu masih lagi huru-hara, berpecah belah dan tidak ketahuan hala. Boleh dikatakan hampir majoriti ahli dan penyokong PAS di Kedah masih lagi keliru dari sudut sokongan.

Sekiranya kita bertanya, “siapakah penyandang jawatan Pesuruhjaya PAS Kedah sekarang?”, kita yakin ramai yang tidak dapat menjawab soalan tersebut dengan tepat. 

Sekiranya di”google” sekalipun, kena “google” betul-betul, barulah kita akan peroleh jawapannya.

Malah jika dirujuk pada laman web rasmi PAS di url http://www.parti-pas.org/badan-perhubungan-pas-kedah sekalipun, ia masih tidak dikemas kini dan tarik terakhir dikemas kini pun adalah pada 8 Januari 2014!

Pesuruhjaya PAS Kedah yang terkini ialah Dr. Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi. Ada sesiapa pernah dengar nama ini di peringkat nasional? Saya yakin, orang Kedah pun ramai yang masih tidak kenal siapakah Dr Ahmad Fakhruddin ini. Jika Mahfuz Omar, Amiruddin Hamzah dan Phahrolrazi Zawawi maka kita kenal sangat mukanya, bukan?
fakhrurudin_160_200
Inilah Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru, pernah tengok?
Di Kedah, hanya Phahrolrazi dan beberapa “geng”nya sahaja yang diheret masuk Amanah. Konco-konconya yang lain seperti Amiruddin Hamzah, Mahfuz Omar, Nasir Mustafa dan sebagainya masih kekal di dalam PAS. Entah apa yang mereka tunggu kita tidak pasti. Mungkin takut pada bai’ah mereka dulu barangkali.

Satu-satunya pemimpin PAS yang agak dikenali dan pro-ulama ialah Ahmad Yahya. Itupun kerana dia sekali-sekala membuat kenyataan media bagi pihak PAS Kedah. Begitu dhaif sekali PAS di Kedah sekarang, bukan?

Malah laman blog yang dulunya menyokong PAS di Kedah dan sering menjadi “bahan” saya untuk mendedahkan kepincangan PAS juga kini telah beralih arah. Boleh dikatakan hampir setiap hari mereka menghentam PAS dan kelihatan sangat condong pada Amanah. Amanah sudah “hacked” blog totok PAS di Kedah, kah?

Justeru itu, saya meminta PAS supaya lebih realistik dalam memberi kenyataan. Jika masih “sakit”, mengaku sajalah “sakit”. Pergilah “berubat” dulu sebelum mahu “menyiku” Amanah atau DAP. Tidak perlulah menipu tentang “kesihatan” diri, bukan? Buat malu saja nanti…

Saya menyarankan supaya PAS Pusat dan PAS Kedah menyusun semula gerakan parti. Khabarnya PAS lebih kuat dari Amanah. Tapi kalau rakyat lihat PAS lebih tenggelam dan Amanah lebih timbul, bagaimana PAS mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka lebih gagah dan Amanah itu hanya parti picisan “hidup segan mati tak mahu”?

Seterusnya saya serahkan pada PAS. Terpulanglah pada kebijaksanaan golongan ulama politik PAS. Namun saya ingin berpesan, apa saja gerakan politik PAS selepas ini, rujuklah pada Islam yang sebenar. Jika terlajak bertahaluf siyasi dengan “syaitan” seperti sebelum ini, maka bersedialah terima kafarahnya sekali lagi, kan? Wallahu’alam.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment