
Monday, October 19, 2015
Jerebu Dijangka Bertambah Teruk
Krisis jerebu yang melanda negara diramalkan
bertambah buruk sehingga November ini berikutan pembakaran terbuka masih
berlaku di Sumatera, Indonesia.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar
Mohamad Diah berkata, bantuan daripada Malaysia juga masih tidak
berkesan kerana pembakaran berlaku terlalu besar.

Menurut beliau, setakat ini tiada tanda-tanda jerebu akan
berkurangan dan pihak kementerian mengambil pendekatan terbaik bagi
mengurangkan masalah tersebut.
“Angin Monsun Timur Laut diramalkan tiba pada bulan depan dan itu
akan membantu mengurangkan jerebu dan masalah tersebut juga dijangka
berakhir,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi akaun Facebook di
sini hari ini.
Masalah jerebu yang melanda negara sejak kebelakangan ini
menunjukkan peningkatan mendadak apabila 14 kawasan mencatatkan bacaan
Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat semalam.
Malah hari ini, semua sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya,
Selangor, Kuala Lumpur, Tawau di Sabah serta Kuching dan Samarahan di
Sarawak terpaksa ditutup lagi akibat krisis jerebu yang seakan tiada
berkesudahan.
Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, proses pembenihan awan akan
dilakukan pada bila-bila masa sekiranya masalah jerebu semakin kritikal.
“Kementerian mempunyai peralatan, tenaga kerja dan peruntukan yang
mencukupi untuk melakukan proses tersebut dan Jabatan Meteorologi juga
tidak perlu merujuk kepada mana-mana pihak untuk melakukan pembenihan
awan.
“Pembenihan awan merupakan satu-satunya teknologi yang kita ada di
Malaysia dan ia amat penting serta berkesan untuk mengurangkan jerebu,”
katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah
Ismail berkata, negara hanya akan bebas daripada masalah jerebu rentas
sempadan apabila tiada lagi ribut tropika di rantau ini.
“Ribut tersebut mempengaruhi corak tiupan angin dan menyebabkan cuaca kering, jadi menyebabkan negara mengalami masalah jerebu.
“Namun, apabila bermulanya musim tengkujuh awal November nanti, masalah jerebu akan berkurang dan mungkin berakhir.” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment