Wednesday, March 23, 2016
Keganasan Persepsi Melalui Pembunuhan Karakter Boleh Gugat Kestabilan Negara
BANGI : Keganasan persepsi yang berleluasa kini melalui
pembunuhan karakter, boleh menggugat kestabilan dan keselamatan negara,
kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata penularan gejala itu boleh mencetuskan keadaan panik
serta huru-hara kerana ia menjejaskan kepercayaan serta keyakinan
terhadap seseorang individu.
Tumpuan
kepada pembunuhan karakter itu adalah berlandaskan kepentingan politik
dan organisasi semata-mata, melibatkan penyalahgunaan Internet dan media
sosial bagi menimbulkan fitnah, emosi, provokasi, menghasut secara
keterlaluan yang terkeluar dari ruang lingkup pemikiran waras serta
rasional.
“Keadaan ini menimbulkan ketidaksefahaman, syak wasangka, pergeseran
sehingga membawa kepada perpecahan ummah yang mampu menggugat kestabilan
dan keselamatan negara,” katanya semasa merasmikan forum Bicara Persada
di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Bertajuk ‘Keganasan Persepsi: Cabaran Terhadap Perpaduan Ummah’,
forum itu menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri
Jamil Khir Baharom, Setiausaha Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat Dr
Khairuddin Aman Razali, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan
Alumni UKM Prof Datuk Dr Noor Aziah Mohd Awal, Setiausaha Majlis
Perundingan Melayu Datuk Dr Hassan Mad dan Pengerusi Majlis Perwakilan
Pelajar UKM Muhammad Farhan Khairuddin.
Salleh berkata walaupun banyak pencerahan telah dibuat namun situasi
itu tetap berlaku kerana masyarakat lebih cenderung mempercayai apa yang
tersebar atau viral di laman-laman sosial.
“Pengaruh keganasan persepsi dilihat menjadikan rakyat keliru bila
menterjemahkan hak kebebasan demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan
bersuara.
“Dalam situasi ini, pemikiran rasional tanpa sekatan atau had adalah
diutamakan kerana mereka tidak menimbang tentang tanggungjawab terhadap
hubungan seseorang individu kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Sehubungan itu, Salleh berharap forum yang menampilkan tokoh dari
pelbagai latar belakang itu dapat menghasilkan dan memberikan kefahaman
untuk pelaksanaan pendekatan-pendekatan strategik dalam menangani
pengaruh keganasan persepsi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment