
Mantan Perdana Menteri dan negarawan ulung negara, Tun Dr. Mahathir
Mohamad hari ini mengheret Perdana Menteri Najib Razak ke muka
pengadilan atas skandal-skandal salah laku dan amalan korupnya berhubung
1MDB, dana berjumlah RM2.6 bilion, serta RM42 juta yang masuk ke
akaun-akaun peribadi Najib Razak.
Writ Saman tersebut difailkan oleh Tun Dr. M bersama-sama dengan Dato’
Seri Khairuddin Abu Hassan dan Anina binti Saadudin sebagai Plaintif
bersama. Najib Razak dinamakan sebagai Defendan dalam kapasiti
peribadinya.
Tindakan guaman ini adalah berhubung dengan salah laku tort misfeasans
dan kemungkiran fidusiari dalam jawatan awam — iaitu kausa tindakan
dalam perundangan sivil bagi mendapatkan seseorang penjawat awam yang
telah menyalah-gunakan kuasa serta kedudukannya, supaya mengambil dan
menggalas tanggung jawab atas segala salah-laku yang timbul.
Dalam Writ Saman dan Penyata Tuntutan yang difailkan pagi ini di
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ketiga-tiga Plaintif menegaskan bahawa
melalui amalan korup, Najib Razak telah secara aktif, berniat jahat dan
mala fide menghalang, mencampuri, menindas dan menyalah pintas pelbagai
siasatan dan inkuiri yang telah dikelolakan oleh pelbagai agensi
penguatkuasaan undang-undang dan badan-badan berkanun berhubung dengan
alegasi skandal-skandal tersebut.
Ini termasuklah pelumpuhan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),
pemecatan tiba-tiba Tan Sri Gani Patail sebagai Peguam Negara hanya 69
hari sebelum persaraannya dijadualkan, perlantikan meragukan Apandi Ali
sebagai Peguam Negara (yang kemudiannya telah membebaskan Najib Razak
dari sebarang salah laku), serta kacau-ganggu, tangkapan, serbuan dan
rampasan terhadap pegawai penyiasat dan pejabat Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM).
Untuk segala salah laku jenayah tersebut, selain memohon pengisytiharan
terhadap salah laku tort misfeasans dan kemungkiran fudisiari, Tun Dr.
M, Khairuddin dan Anina turut menuntut agar Najib Razak membayar ganti
rugi tauladan dalam jumlah RM2.6 bilion dan ganti rugi berpanjangan
dalam jumlah RM42 juta (atau mana-mana jumlah yang ditaksirkan oleh
Mahkamah) kepada Kerajaan Malaysia.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment