Tuesday, June 23, 2015

Kasihanilah Tun Mahathir Di Usianya Yang Senja...

Secara jujur penulis katakan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad sangat penulis kagumi, hormati dan sanjungi ekoran prestasinya sebagai Perdana Menteri sangat mantap menyaksikan Malaysia membangun pesat dengan KLCC, KLIA, Multimedia Super Corridor, Proton dan banyak lagi.

Sekiranya disenaraikan penulis tentang jasa-jasa Tun M ketika beliau mentadbir negara, rasanya mungkin boleh dikarang sebuah buku berjilid-jilid banyaknya tidak terkata. Bak ampu mereka yang terlalu taksub pada beliau, dialah negarawan ulung tiada tolok gantinya di dalam dunia ini.

Ketika Tun M meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, ramai yang menjangka nasib dan masa depan negara akan kelam gelap-gelita dan mundur semundur-mundurnya. Malaysia seolah tiada masa depan dan akan musnah pada bila-bila masa saja bila beliau melepaskan jawatan yang disandangnya selama 22 tahun itu.

"Dah lama dah..." katanya, lalu diiringi dengan sendu dan sedan tangisan ramai para pengikutnya, bagaikan wafatnya seorang Rasul yang diutuskan Tuhan. Sebagai orang muda ketika itu, penulis hanya bersahaja menantikan 'drama' yang seterusnya dalam diari beliau...

Penulis akui, beliau memang hebat sebagai ahli politik. Walau syarahan dan ucapannya tidak sehebat bahasa Anwar Ibrahim, namun Mahathir memiliki kharisma yang sukar diduga. Retoriknya walaupun tidak tepat, tetap melekat di hati dan dipercaya orang ramai bagaikan seorang Nabi. Hebat, bukan?

Penulis terkasima sewaktu media melaporkan bahawa negarawan ulung itu dilantik mengetuai Proton. Propaganda mengatakan bahawa beliau dilantik, tapi desas-desus di belakang mengatakan dia mahu dilantik. Tidak tahulah mana satu yang benar...

Namun fakta menjelaskan bahawa tokoh automotif negara, Tan Sri Mohd Khamil Jamil meletak jawatan sebagai Pengerusi Proton dan digantikan dengan Tun M. Peliknya, Khamil dilapor masih lagi bersama Proton sebagai Ahli Lembaga Pengarah selepas meletak jawatan.

Ketika itu, penulis benar-benar bersemangat untuk melihat prestasi Proton. Harapan penulis adalah untuk melihat Proton bakal mencabar gergasi automotif dunia ekoran ia 'dipandu' oleh seorang tokoh politik dan pengurusan yang sangat 'dewa' kehebatannya.

Penulis menjangkakan beliau akan memacu Proton dengan mencabar syarikat pengeluar kenderaan terkemuka dunia seperti Mercedes Benz, BMW, Lexus atau sekurang-kurangnya mampu mengalahkan Honda sama ada bagi pasaran tempatan mahupun luar negara.

Harapan penulis sangat tinggi padanya ekoran prestasinya yang hebat sejak dilantik mengetuai Proton sejak 16 Mei tahun lalu. Paling 'lekeh' sekali pun kata orang Pulau Pinang, dalam masa tiga bulan saja Proton sudah mampu 'pukoi' Perodua.

Malah penulis menjangkakan bahawa Proton dengan mudah mampu mengalahkan kualiti syarikat automotif dari Jepun seperti Nissan, Toyota dan Mitsubishi. Maklumlah, bukankah Tun M gemar 'pandang ke Timur' sebelum ini, kan? Sudah tentu beliau mampu. Itu jangkaan penulis.

Malangnya, mantan Perdana Menteri yang begitu 'dewa' sekali digambarkan para penyokong taksubnya itu semalam hanya mensasarkan untuk bersaing dengan Perodua dan mahu 'mencuri' kembali pasaran syarikat yang lebih 'muda' berbanding Proton itu.

Tun M memberi alasan bahawa kononnya, Perodua banyak 'mencuri' pasaran Proton sebelum ini. Padahal Perodua yang lahir pada 27 Ogos 1994 itu berbanding Proton yang ditubuhkan pada tarikh yang jauh lebih awal pada 7 Mei 1983. 11 tahun ditubuhkan lebih awal!

Sangat menakjubkan pasaran sebuah syarikat yang ditatang Tun M bagai minyak yang penuh sejak beliau menjadi Perdana Menteri itu dapat 'dicuri' Perodua, bukan? Namun percaya atau tidak, itulah alasan yang diberi Tun M semalam.

Maaflah sekiranya pemimpin agung itu tersinggung. Tidak terlintas dihati penulis untuk memperlekeh prestasi Tun M. Namun apa yang beliau katakan semalam benar-benar menunjukkan bahawa pandangannya yang dikatakan menjangkau 50 tahun terkehadapan itu seolah mundur 25 tahun ke belakang. Sangat mengecewakan.

Secara jujur dari sudut pandang rakyat Malaysia yang sayangkan Proton, penulis melihat kegagalan Proton itu mungkin benar dari sudut strategi pemasaran. Maksud penulis, bagaimana hendak pasarkan kenderaan yang kualitinya berada ditakuk yang sama, sedangkan pasaran kenderaan kini melihat persaingan yang hebat dari sudut kualiti berbanding kuantiti.

Penulis setia menyokong produk 'buatan Malaysia' dan penulis sendiri memandu salah sebuah kereta keluaran syarikat yang ditubuhkan Tun M itu. Rakan-rakan penulis juga begitu, kami semua memiliki Proton walau berlainan model.

Namun, pada perbincangan kami mengenai kereta yang kami miliki. Pengalamannya sama, 'stagnant', kekal ditakuk kurang berkualiti dan sering bermasalah. Ia sangat berbeza dengan rakan kami yang memandu kenderaan keluaran Perodua, jauh sekali mampu menyaingi rakan kami yang memandu Honda, Toyota mahupun Nissan.

Sebagai pihak yang cintakan produk 'buatan Malaysia', kami memejamkan mata bermati-matian mengatakan kualiti Proton jauh lebih baik berbanding Perodua walaupun jauh disudut hati kami mengatakan 'hampeh betul la Proton nih..!'.

Iriz mampu bersaing dengan Axia? Bagaimana dengan Suprema? Seandai kita di jalanraya, rasanya jarang sekali untuk kita bertembung bilangan Iriz dan Suprema, berbanding Axia yang lebih diminati para pengguna di Malaysia.

Maaflah. Penulis tidak bermaksud memperlekeh 'dewa ulung'. Namun meskipun Iriz dilancarkan seorang 'dewa agung' jelas sekali ia gagal memberi impak yang berkesan terhadap pasaran berbanding Axia yang hanya dilancar oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penulis sebenarnya kasihankan Tun M. Di saat umurnya hampir berusia 90 tahun, namun beliau masih lagi memaksa otak dan akal fikirannya untuk bekerja memacu dan membangunkan Proton ke tahap yang setaraf dengan reputasinya yang bertaraf dunia.

Belum pun mampu menyelesaikan masalah Proton, beliau perlu pula memerah akal dan fikirannya untuk mencari jalan supaya menjatuhkan Perdana Menteri yang bapanya banyak berjasa mengutip beliau yang dipecat dari UMNO hingga mampu dijulang menjadi Perdana Menteri.

Kasihan beliau bukan? Dalam pengamatan penulis, usia sesenja beliau sewajarnya merehatkan otak dan fikiran yang telah teruk bekerja selama berpuluh-puluh tahun berbakti pada nusa dan bangsa. Tapi terpaksa dikerah demi menjulang egonya yang tinggi...

Seorang Datuk sepertinya di saat ini sangat sesuai untuk mengabdikan diri dengan ibadah kepada Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya dengan beramal sebanyak mungkin sebagai bekalan di akhirat kelak.

Itu kesedaran yang biasanya lahir dari hati seorang muslim yang sudah bersara, bukan? Bukannya terus menongkat langit mempertahankan ego.

Sekiranya penulis ditempat beliau, awal-awal lagi penulis akan menetap di Madinah Al-Munawwarah, dan sekiranya diizinkan Allah, penulis mahu dikebumikan di kawasan perkuburan Al-Baqi', supaya dekat dengan maqam Rasulullah SAW.

Jadi, bila dibangkitkan kelak di hari kiamat, maka penulis mengharapkan akan dibangkitkan dekat dengan kekasih Allah itu dan mendapat syafaat darinya. Berbeza sekali dengan Tun M, beliau lebih menyibukkan diri dengan memikirkan tentang Proton dan bergaduh dengan Najib. Alahai...

Dipetik daripada sumber : Amir Hamzah/Kedahnews.com

No comments:

Post a Comment