Secara jujur penulis katakan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad sangat
penulis kagumi, hormati dan sanjungi ekoran prestasinya sebagai Perdana
Menteri sangat mantap menyaksikan Malaysia membangun pesat dengan KLCC,
KLIA, Multimedia Super Corridor, Proton dan banyak lagi.
Sekiranya disenaraikan penulis tentang jasa-jasa Tun M ketika beliau
mentadbir negara, rasanya mungkin boleh dikarang sebuah buku
berjilid-jilid banyaknya tidak terkata. Bak ampu mereka yang terlalu
taksub pada beliau, dialah negarawan ulung tiada tolok gantinya di dalam
dunia ini.
Ketika Tun M meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, ramai yang
menjangka nasib dan masa depan negara akan kelam gelap-gelita dan mundur
semundur-mundurnya. Malaysia seolah tiada masa depan dan akan musnah
pada bila-bila masa saja bila beliau melepaskan jawatan yang
disandangnya selama 22 tahun itu.
"Dah lama dah..." katanya, lalu diiringi dengan sendu dan sedan tangisan
ramai para pengikutnya, bagaikan wafatnya seorang Rasul yang diutuskan
Tuhan. Sebagai orang muda ketika itu, penulis hanya bersahaja menantikan
'drama' yang seterusnya dalam diari beliau...
Penulis akui, beliau memang hebat sebagai ahli politik. Walau syarahan
dan ucapannya tidak sehebat bahasa Anwar Ibrahim, namun Mahathir
memiliki kharisma yang sukar diduga. Retoriknya walaupun tidak tepat,
tetap melekat di hati dan dipercaya orang ramai bagaikan seorang Nabi.
Hebat, bukan?
Penulis terkasima sewaktu media melaporkan bahawa negarawan ulung itu
dilantik mengetuai Proton. Propaganda mengatakan bahawa beliau dilantik,
tapi desas-desus di belakang mengatakan dia mahu dilantik. Tidak
tahulah mana satu yang benar...
Namun fakta menjelaskan bahawa tokoh automotif negara, Tan Sri Mohd
Khamil Jamil meletak jawatan sebagai Pengerusi Proton dan digantikan
dengan Tun M. Peliknya, Khamil dilapor masih lagi bersama Proton sebagai
Ahli Lembaga Pengarah selepas meletak jawatan.
Ketika itu, penulis benar-benar bersemangat untuk melihat prestasi
Proton. Harapan penulis adalah untuk melihat Proton bakal mencabar
gergasi automotif dunia ekoran ia 'dipandu' oleh seorang tokoh politik
dan pengurusan yang sangat 'dewa' kehebatannya.
Penulis menjangkakan beliau akan memacu Proton dengan mencabar syarikat
pengeluar kenderaan terkemuka dunia seperti Mercedes Benz, BMW, Lexus
atau sekurang-kurangnya mampu mengalahkan Honda sama ada bagi pasaran
tempatan mahupun luar negara.
Harapan penulis sangat tinggi padanya ekoran prestasinya yang hebat
sejak dilantik mengetuai Proton sejak 16 Mei tahun lalu. Paling 'lekeh'
sekali pun kata orang Pulau Pinang, dalam masa tiga bulan saja Proton
sudah mampu 'pukoi' Perodua.
Malah penulis menjangkakan bahawa Proton dengan mudah mampu mengalahkan
kualiti syarikat automotif dari Jepun seperti Nissan, Toyota dan
Mitsubishi. Maklumlah, bukankah Tun M gemar 'pandang ke Timur' sebelum
ini, kan? Sudah tentu beliau mampu. Itu jangkaan penulis.
Malangnya, mantan Perdana Menteri yang begitu 'dewa' sekali digambarkan
para penyokong taksubnya itu semalam hanya mensasarkan untuk bersaing
dengan Perodua dan mahu 'mencuri' kembali pasaran syarikat yang lebih
'muda' berbanding Proton itu.
Tun M memberi alasan bahawa kononnya, Perodua banyak 'mencuri' pasaran
Proton sebelum ini. Padahal Perodua yang lahir pada 27 Ogos 1994 itu
berbanding Proton yang ditubuhkan pada tarikh yang jauh lebih awal pada 7
Mei 1983. 11 tahun ditubuhkan lebih awal!
Sangat menakjubkan pasaran sebuah syarikat yang ditatang Tun M bagai
minyak yang penuh sejak beliau menjadi Perdana Menteri itu dapat
'dicuri' Perodua, bukan? Namun percaya atau tidak, itulah alasan yang
diberi Tun M semalam.
Maaflah sekiranya pemimpin agung itu tersinggung. Tidak terlintas dihati
penulis untuk memperlekeh prestasi Tun M. Namun apa yang beliau katakan
semalam benar-benar menunjukkan bahawa pandangannya yang dikatakan
menjangkau 50 tahun terkehadapan itu seolah mundur 25 tahun ke belakang.
Sangat mengecewakan.
Secara jujur dari sudut pandang rakyat Malaysia yang sayangkan Proton,
penulis melihat kegagalan Proton itu mungkin benar dari sudut strategi
pemasaran. Maksud penulis, bagaimana hendak pasarkan kenderaan yang
kualitinya berada ditakuk yang sama, sedangkan pasaran kenderaan kini
melihat persaingan yang hebat dari sudut kualiti berbanding kuantiti.
Penulis setia menyokong produk 'buatan Malaysia' dan penulis sendiri
memandu salah sebuah kereta keluaran syarikat yang ditubuhkan Tun M itu.
Rakan-rakan penulis juga begitu, kami semua memiliki Proton walau
berlainan model.
Namun, pada perbincangan kami mengenai kereta yang kami miliki.
Pengalamannya sama, 'stagnant', kekal ditakuk kurang berkualiti dan
sering bermasalah. Ia sangat berbeza dengan rakan kami yang memandu
kenderaan keluaran Perodua, jauh sekali mampu menyaingi rakan kami yang
memandu Honda, Toyota mahupun Nissan.
Sebagai pihak yang cintakan produk 'buatan Malaysia', kami memejamkan
mata bermati-matian mengatakan kualiti Proton jauh lebih baik berbanding
Perodua walaupun jauh disudut hati kami mengatakan 'hampeh betul la
Proton nih..!'.
Iriz mampu bersaing dengan Axia? Bagaimana dengan Suprema? Seandai kita
di jalanraya, rasanya jarang sekali untuk kita bertembung bilangan Iriz
dan Suprema, berbanding Axia yang lebih diminati para pengguna di
Malaysia.
Maaflah. Penulis tidak bermaksud memperlekeh 'dewa ulung'. Namun
meskipun Iriz dilancarkan seorang 'dewa agung' jelas sekali ia gagal
memberi impak yang berkesan terhadap pasaran berbanding Axia yang hanya
dilancar oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Penulis sebenarnya kasihankan Tun M. Di saat umurnya hampir berusia 90
tahun, namun beliau masih lagi memaksa otak dan akal fikirannya untuk
bekerja memacu dan membangunkan Proton ke tahap yang setaraf dengan
reputasinya yang bertaraf dunia.
Belum pun mampu menyelesaikan masalah Proton, beliau perlu pula memerah
akal dan fikirannya untuk mencari jalan supaya menjatuhkan Perdana
Menteri yang bapanya banyak berjasa mengutip beliau yang dipecat dari
UMNO hingga mampu dijulang menjadi Perdana Menteri.
Kasihan beliau bukan? Dalam pengamatan penulis, usia sesenja beliau
sewajarnya merehatkan otak dan fikiran yang telah teruk bekerja selama
berpuluh-puluh tahun berbakti pada nusa dan bangsa. Tapi terpaksa
dikerah demi menjulang egonya yang tinggi...
Seorang Datuk sepertinya di saat ini sangat sesuai untuk mengabdikan
diri dengan ibadah kepada Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya dengan
beramal sebanyak mungkin sebagai bekalan di akhirat kelak.
Itu kesedaran yang biasanya lahir dari hati seorang muslim yang sudah
bersara, bukan? Bukannya terus menongkat langit mempertahankan ego.
Sekiranya penulis ditempat beliau, awal-awal lagi penulis akan menetap
di Madinah Al-Munawwarah, dan sekiranya diizinkan Allah, penulis mahu
dikebumikan di kawasan perkuburan Al-Baqi', supaya dekat dengan maqam
Rasulullah SAW.
Jadi, bila dibangkitkan kelak di hari kiamat, maka penulis mengharapkan
akan dibangkitkan dekat dengan kekasih Allah itu dan mendapat syafaat
darinya. Berbeza sekali dengan Tun M, beliau lebih menyibukkan diri
dengan memikirkan tentang Proton dan bergaduh dengan Najib. Alahai...
Dipetik daripada sumber : Amir Hamzah/Kedahnews.com

No comments:
Post a Comment