Tuesday, June 23, 2015
Perhatian Serius Akan Diberikan Kepada Perumahan Anggota Tentera.
Kebajikan tentera dijaga
Kerajaan akan terus menjaga kebajikan anggota tentera sebagai membalas jasa dan pengorbanan mereka terhadap negara selama ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, antara agenda
yang akan diberi perhatian serius ialah perumahan untuk anggota tentera
yang sehingga kini masih belum mencukupi.
Sebagai contoh katanya, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di
Port Dickson di sini masih memerlukan sebanyak 800 unit rumah untuk
para pegawai dan anggotanya.
“Selain itu, saya diberitahu oleh (Menteri Besar), Datuk Seri
Mohamad Hasan bahawa masalah perumahan untuk anggota tentera di (Kem
Syed Sirajuddin) Gemas kritikal hingga ada yang terpaksa menyewa rumah
di Johor.
“Saya harap kita semua dapat memberi tumpuan bagaimana untuk
menyelesaikan masalah ini tidak lama lagi,” katanya dalam majlis berbuka
puasa bersama lebih 3,000 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) di Padang Kawad Pusasda malam ini.
Yang turut hadir Mohamad; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk
Abdul Rahim Bakri dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd.
Zin.
Sementara itu, Najib berkata, kebajikan anggota tentera menjadi
keutamaan kerajaan memandangkan peranan yang dimainkan oleh mereka
terutama ketika menghadapi bencana dan kecemasan tidak ternilai
harganya.
“Siapa yang sanggup bawa helikopter hingga 3,000 meter hampir-hampir
ke puncak Gunung Kinabalu melainkan anggota tentera, kalau ada banjir
air deras sampai bot 40 kuasa kuda pun tak lepas, siapa sanggup
menyelamatkan nyawa orang awam melainkan anggota tentera,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment