Tuesday, June 23, 2015
UMNO P.Pinang Serah Memorandum Bantah MBPP Roboh Struktur Logo UMNO
23 Jun 2015, Georgetown : UMNO Pulau Pinang hari ini menyerahkan
memorandum kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi membantah
tindakan merobohkan struktur logo UMNO di Menara UMNO Negeri di Jalan
Macalister, di sini Jumaat lepas.
Memorandum itu diserahkan oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO
negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir kepada wakil MBPP Mohd Feroze Md Noor
pada 11.15 pagi dan turut disertai beberapa ketua UMNO bahagian serta
ketua pemuda UMNO negeri.
Musa menyifatkan MBPP tidak mengikut peraturan dalam mengambil
tindakan merobohkan struktur logo UMNO itu apabila mengeluarkan notis
berhenti kerja serta-merta walaupun pihak JKP Sdn Bhd telah membuat
rayuan.
“Kami rasa dukacita apa yang berlaku walaupun kami dah buat surat
rayuan pada 19 Jun tapi notis dihantar dengan serta-merta dan mereka
cuba nak robohkan (struktur bangunan itu). Saya nak tanya kalaulah
lambang Dap diturunkan apa perasaan mereka, apa perasaan pemimpin DAP.
“Jadi, kami buat bantahan, rasa dukacita kerana kami dah buat rayuan
tapi tindakan tetap diambil. Ini tidak adil. Kami pun nak berkawan
dengan semua orang. Kalau ada undang-undang yang memerlukan kami untuk
buat permohonan, kami akan buat permohonan tak ada masalah,” katanya
kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu di Kompleks Tun
Abdul Razak (Komtar) di sini.
Penguat kuasa MBPP pada Jumaat lepas cuba meroboh struktur tulisan
UMNO di depan bangunan parti itu di Jalan Macalister, namun berjaya
dihalang anggota parti berkenaan.
Ditanya sama ada UMNO Pulau Pinang akan mengambil tindakan
undang-undang terhadap MBPP, beliau berkata pihaknya akan berbincang
berhubung perkara itu.
Sementara itu, wakil JKP Sdn Bhd yang enggan dikenali berkata surat
permohonan untuk mendirikan struktur logo UMNO itu tidak diterima dan
MBPP meminta mereka membuat permohonan secara dalam talian (online).
Beliau berkata surat permohonan itu telah dihantar dari semalam dan
sehingga kini MBPP dilihat seolah-olah berdolak-dalik dan mengamalkan
birokrasi dalam menyelesaikan isu berkenaan.
“Mereka suruh kami buat permohonan, kami dah buat permohonan. Tapi
permohonan tidak diterima malah mereka suruh kami buat permohonan lain
secara online pula. Bila ditanya macam mana nak mohon secara online
mereka pun tidak tahu,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment