Tuesday, June 23, 2015

UMNO P.Pinang Serah Memorandum Bantah MBPP Roboh Struktur Logo UMNO

23 Jun 2015, Georgetown : UMNO Pulau Pinang hari ini menyerahkan memorandum kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi membantah tindakan merobohkan struktur logo UMNO di Menara UMNO Negeri di Jalan Macalister, di sini Jumaat lepas.

Memorandum itu diserahkan oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir kepada wakil MBPP Mohd Feroze Md Noor pada 11.15 pagi dan turut disertai beberapa ketua UMNO bahagian serta ketua pemuda UMNO negeri.
http://4.bp.blogspot.com/-YoA98fZjSgY/VYj2vxFOC9I/AAAAAAABJ3Y/UleKlAQZvyc/s1600/bakar%2Bbendera%2Bdap.jpg
Musa menyifatkan MBPP tidak mengikut peraturan dalam mengambil tindakan merobohkan struktur logo UMNO itu apabila mengeluarkan notis berhenti kerja serta-merta walaupun pihak JKP Sdn Bhd telah membuat rayuan.

“Kami rasa dukacita apa yang berlaku walaupun kami dah buat surat rayuan pada 19 Jun tapi notis dihantar dengan serta-merta dan mereka cuba nak robohkan (struktur bangunan itu). Saya nak tanya kalaulah lambang Dap diturunkan apa perasaan mereka, apa perasaan pemimpin DAP. 

“Jadi, kami buat bantahan, rasa dukacita kerana kami dah buat rayuan tapi tindakan tetap diambil. Ini tidak adil. Kami pun nak berkawan dengan semua orang. Kalau ada undang-undang yang memerlukan kami untuk buat permohonan, kami akan buat permohonan tak ada masalah,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini. 

Penguat kuasa MBPP pada Jumaat lepas cuba meroboh struktur tulisan UMNO di depan bangunan parti itu di Jalan Macalister, namun berjaya dihalang anggota parti berkenaan.

Ditanya sama ada UMNO Pulau Pinang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap MBPP, beliau berkata pihaknya akan berbincang berhubung perkara itu.

Sementara itu, wakil JKP Sdn Bhd yang enggan dikenali berkata surat permohonan untuk mendirikan struktur logo UMNO itu tidak diterima dan MBPP meminta mereka membuat permohonan secara dalam talian (online).

Beliau berkata surat permohonan itu telah dihantar dari semalam dan sehingga kini MBPP dilihat seolah-olah berdolak-dalik dan mengamalkan birokrasi dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Mereka suruh kami buat permohonan, kami dah buat permohonan. Tapi permohonan tidak diterima malah mereka suruh kami buat permohonan lain secara online pula. Bila ditanya macam mana nak mohon secara online mereka pun tidak tahu,” katanya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment