Sepertimana laporan sebuah portal berita sebelum ini, penubuhan Darul
Ehsan Investment Group (DEIG) pada Disember tahun lalu bertujuan memberi
fokus kepada sektor pelaburan, aset dan perniagaan semata-mata. Walau
bagaimanapun, kemampuannya untuk memberi pulangan yang lumayan kepada
Kerajaan PKR Selangor dipersoalkan memandangkan syarikat itu perlu
membayar cukai pendapatan.
Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI)
Selangor, Faekah Husin, sebagai sebuah syarikat yang didaftarkan dengan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), DEIG tidak dikecualikan daripada
membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Namun, beliau berkata, MBI Selangor tidak diwajibkan untuk membayar cukai pendapatan berikutan statusnya sebagai badan berkanun.
"Bagaimanakah kerajaan negeri akan mendapat pulangan lebih baik daripada
DEIG sekiranya ia wajib membayar cukai bagi transaksi perniagaan
sebagai sebuah syarikat yang berdaftar dengan SSM," katanya seperti
dilaporkan portal berita ‘Free Malaysia Today’ semalam.
Minggu lalu, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menjadi ‘panas’
apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada
DAP mendesak supaya penubuhan DEIG dibuat pengkajian semula berikutan
syarikat tersebut ditubuhkan melalui Akta Syarikat 1965 yang sekali gus
bermaksud segala aktiviti, operasi dan pengurusan kewangan serta
pelaburan tidak perlu dilaporkan kepada DUN Selangor.
Susulan sidang DUN tersebut, sebuah portal berita telah mendedahkan
rekod terkini SSM DEIG menunjukkan bahawa kedua-dua saham bernilai RM1
DEIG itu didakwa dipegang oleh dua individu iaitu Ketua Pegawai
Eksekutif MBI Selangor, Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Pegawai
Operasi MBI Selangor, Soffan Affendi Aminuddin.
Selain itu, Faekah turut mempersoalkan kewajaran di sebalik penubuhan DEIG yang dilihat lebih berfungsi sebagai ‘orang tengah’.
Jelas beliau, dalam hal ini, Kerajaan PKR Selangor sepatutnya
menjalankan proses rasionalisasi dan konsolidasi bagi mengurangkan kos
operasi 12 anak syarikat naungan MBI Selangor.
Ini kerana, katanya, kemampuan DEIG dalam menguruskan aset MBI Selangor
yang bernilai RM30 bilion itu dapat dinilai menerusi nilai modal
berbayarnya.
"Jumlah modal berbayar DEIG setakat ini hanya RM2. Maka, jelas DEIG syarikat bernilai RM2," jelasnya.
Tidak ketinggalan, beliau juga mempertikaikan proses bagaimana aset
bernilai RM30 bilion itu hanya dipantau menerusi laporan tahunan sahaja
dan bukannya melalui laporan operasi atas alasan akaun DEIG disatukan
dengan laporan tahunan MBI Selangor.
Baru-baru ini, Kerajaan PKR Selangor digesa memberi penjelasan
terperinci dan telus mengenai penubuhan Darul Ehsan Investment Group
(DEIG) kerana rakyat mahukan kebenaran dan keadilan berhubung isu
tersebut.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment