Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan memaklumkan bahawa pihak media
pembangkang sengaja memutar belitkan kenyataannya agar rakyat di negara
ini membencinya.
Tambahnya, perbuatan media pembangkang itu juga bertujuan membunuh
karektornya, menghilangkan kewibawaannya dan kepercayaan kepada pemimpin
Umno dan parti.
Ahmas Maslan berkata, walau bagaimanapun, niat jahat media pembangkang
untuk membuatkan rakyat membencinya tidak akan berjaya kerana beliau
yakin kebenaran akan mengatasi kebatilan, kejujuran akan mengatasi
kejahatan dan kesabaran akan mengatasi kedurjanaan.
"Niat jahat dengan memutarbelit kenyataan bertujuan menimbulkan
kebencian rakyat terhadap saya tidak akan berjaya," tulis Ahmad Maslan
menerusi laman blog miliknya.
Dalam masa sama, Ahmad Maslan turut memberi contoh dimana media
pembangkang sengaja memutar belit kenyataannya mengenai penerangan GST
yang dilakukannya dahulu.
Ahmad Maslan berkata, beliau telah menerangkan panjang lebar mengenai
GST kepada rakyat dan memberi beberapa tips kepada rakyat untuk
mengatasi dikenakan cukai tersebut, tetapi media pembangkang telah
'spin' kenyataannya dan dijadikan bahan jenaka.
"Sebagai contoh saya pernah sebut bahawa ikan segar tidak kena GST, ikan
sardin ada GST dan lebih elok makan ikan segar. Mereka "Spin" yang
konon saya kata jadikan ikan segar kepada ikan sardin untuk elak GST.
Kan lain apa yang saya sebut dan apa yang disebar.
"Selama 2 jam 45 minit saya menerangkan GST menggunakan multimedia di
UITM Shah Alam dan menjawab puluhan soalan. Namun yang di "spin" ialah
saya minta pelajar masak sendiri untuk elak GST.
"Anak sulung saya pernah belajar di UITM Shah Alam dan tentu saya tahu
pelajar tidak boleh masak dalam hostel. Untuk yang duduk di luar,
sesekali masak sendiri apa salahnya," katanya.
Oleh itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu
berharap rakyat di negara ini tidak mudah percaya dengan berita yang
disebarkan oleh media pembangkang .
"Semak dulu, bertanya dan jangan mudah percaya serta jangan mudah
menyebarkan segala-gala yang diperolehi melalui media sosial," jelasnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment