KUALA LUMPUR : Kerajaan memutuskan mengenakan moratorium ke
atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan
bermula 15 Jan, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr
Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini,
dengan menggariskan beberapa langkah perlu diambil oleh pihak industri
yang terlibat, dalam tempoh tiga bulan bagi menyelesaikan masalah
pencemaran akibat aktiviti berkenaan.
Langkah berkenaan melibatkan pengosongan stok simpanan bauksit,
mewujudkan sebuah kawasan simpanan bersepadu dan sistem pembersihan sisa
bauksit.
“Bermula 15 Jan ini, semua (perlombongan bauksit) dihentikan
sementara di Kuantan. Tak ada pergerakan sebab kita nak minta 11 pemilik
stok simpanan bauksit buat pembersihan di setiap tempat simpanan
bauksit. Begitu juga dekat pelabuhan, mesti keluarkan semua (stok
simpanan) bauksit kerana kita tak benarkan lambakan bauksit di sana yang
akan mengalir ke laut.
“Semua stok simpanan (11 pusat stok simpanan bauksit) sama ada
untuk dieksport atau dialih ke satu tempat yang dikatakan tempat stok
simpanan berpusat.
“Hanya ada satu kawasan stok simpanan akan dibina dengan perparitan,
sistem penapisan, tempat pembersihan…semua sekali,” katanya pada sidang
media khas mengenai operasi bauksit di Pahang, di sini hari ini.
Wan Junaidi menjelaskan tempoh moratorium akan dilanjutkan sekiranya
pihak industri tidak dapat melaksanakan semua langkah yang digariskan
itu.
“Dalam tempoh pelaksanaan moratorium itu, kerajaan akan
melaksanakan penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan ia dipatuhi. Ia
melibatkan agensi persekutuan dan negeri,” katanya.
Beliau berkata bagi membendung masalah pencemaran akibat bauksit,
kerajaan juga telah membekukan pengeluaran Permit Kelulusan (AP) untuk
menjalankan operasi perlombongan sejak minggu lepas.
Katanya AP baharu akan dikeluarkan selepas tempoh tiga bulan
moratorium selesai, dan bagi pelombong yang tidak mematuhi garis panduan
ditetapkan, mereka berisiko tidak akan diberikan AP untuk meneruskan
aktiviti perlombongan.
Menjelaskan mengenai punca insiden air menjadi merah di Sungai Balok
dan laut Pantai Batu Hitam, Wan Junaidi berkata insiden itu berlaku
akibat pengaliran sisa bauksit dari pelabuhan.
“Sebagai tindakan proaktif, Jabatan Alam Sekitar mewujudkan enam
stesen ad hoc khusus bagi memantau kualiti air di kawasan terjejas
disebabkan perlombongan bauksit di Sungai Riau, Sungai Mabok, dan Sungai
Pinang menunjukkan kepekatan pepejal terampai kualiti air sungai
berkenaan berada dalam kelas III Piawaian Kualiti Air Kebangsaan (NWQS),
belum sampai tahap bahaya.
“Hasil analisis persampelan terkini yang dibuat pada 30 Dis lepas pula hanya akan diketahui dalam tempoh tiga minggu,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang
turut hadir pada sidang media itu, menjelaskan terdapat 22 pemegang AP
yang sah untuk menjalankan aktiviti perlombongan bauksit manakala jumlah
pelombong haram tidak dapat dikenal pasti.
Ditanya mengenai keresahan orang ramai berhubung pencemaran itu,
beliau menasihatkan penduduk kawasan terlibat supaya bertenang dan
kerajaan negeri serta Persekutuan sedang melaksanakan langkah membendung
masalah itu.
“Kami tidak berada dalam sindrom penafian dan tidak mahu
menyalahkan sesiapa. Kami melakukan yang terbaik untuk memastikan
kebajikan rakyat pada setiap masa, perlu melebihi manfaat lain termasuk
kewangan,” katanya.
Beliau berkata mekanisme pencegahan yang lebih ketat perlu
dilaksanakan bagi mengatasi masalah perlombongan haram yang berlaku di
kawasan itu.
Adnan berkata pihaknya tidak teragak-agak meminta campur tangan
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menangani isu bauksit, seperti
dilakukan agensi itu di Cameron Highlands bagi mengatasi isu pertanian
haram yang mencapai kejayaan.
Ditanya mengenai jumlah hasil royalti yang diperoleh kerajaan
Pahang daripada pengeksportan bauksit, beliau berkata sebanyak RM46.7
juta berjaya dikutip pada 2015 berbanding RM2.4 juta pada tahun sebelumnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment