
KUANTAN : Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram)
mengucap tahniah kepada kerajaan kerana mengenakan moratorium ke
atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan
bermula 15 Januari ini.
Pengerusinya, Ali Akbar Othman berkata, tindakan itu tepat pada
masanya dalam keadaan segala langkah untuk mengurangkan pencemaran
berikutan aktiviti itu sebelum ini yang menemui jalan buntu.
“Cuma lagi rakyat mahu mengetahui adakah tempoh tiga bulan itu juga
akan digunakan untuk membaiki infrastruktur yang telah banyak rosak dan
tercemar berikutan kegiatan itu. Ini termasuk membaiki kembali
jalan-jalan raya serta mencuci papan-papan tanda yang telah berubah
warna menjadi merah sebelum ini,” katanya kepada Bernama ketika
dihubungi di sini hari ini.
Menurut Ali, Geram yang mewakili suara rakyat berhubung isu itu
sebenarnya sama sekali tidak pernah menentang perlombongan itu jika
sekiranya ia mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang sewajarnya.
“Kita mahukan satu SOP baru diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Ia juga
perlu dihebahkan kepada umum melalui media masa supaya senang untuk
rakyat melaporkan sebarang masalah jika pengusaha yang terlibat tidak
mengikut SOP yang ditetapkan itu,” katanya.
SOP itu katanya perlu bermula daripada proses pemberian permit,
kerja-kerja pengorekan bauksit, pengangkutan sehingga kepada kerja-kerja
pemunggahan bahan mineral itu ke atas kapal.
Dalam masa yang sama , beliau turut mencadangkan kepada kerajaan
supaya mewujudkan ‘hotline’ khas berkaitan perkara itu bagi memudahkan
rakyat mengemukakan sebarang aduan yang berkenaan.
Selain itu, Penaksiran Kesan Persekitaran (EIA) juga perlu dilakukan
di kawasan-kawasan perlombongan tidak kira keluasannya untuk memastikan
ia tidak menimbulkan kesan pencemaran kepada alam sekitar.
Sementara itu Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Puan
Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berharap kerajaan dapat mempertimbangkan
untuk menghentikan terus aktiviti berkenaan di Pahang.
“Ini kerana kita telah dapat lihat dengan jelas kesan pencemaran yang
teruk diakibatkan oleh aktiviti perlombongan ini, bukan sahaja jalan
raya serta pokok-pokok bertukar menjadi merah, malah ia turut mencemarkan punca air
minuman penduduk yang sekali gus boleh mendatangkan risiko kesihatan.
“Jadi kalau boleh kita memohon kepada kerajaan agar menghentikan
terus aktiviti ini, kita mahukan Pahang kembali menjadi makmur dengan
pemandangan yang alam sekitar yang menghijau,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment