Wednesday, March 09, 2016
PAN Buka Pintu Untuk Dr Mahathir - Mat Sabu
Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pengundurannya daripada
UMNO, Parti Amanah Negara (PAN) "membuka pintu" kepada bekas perdana
menteri itu dan mana-mana pihak bagi mengadakan sebarang rundingan atau
menjalin kerjasama bersama mereka, lapor media.
Menurut Presiden PAN Mohamad Sabu, tindakan Dr Mahathir meninggalkan
UMNO demi menyelamatkan Malaysia daripada pentadbiran Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak merupakan satu perkara serius.
Mohamad yang lebih dikenali dengan Mat Sabu berkata, jalinan kerjasama
antara PAN dan pengkritik utama Najib itu boleh dizahirkan menerusi
penyertaan dalam pelbagai perkara termasuk kenyataan bersama,
perhimpunan dan sebagainya.
"Kita bersama, bersedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk Dr
Mahathir. Rancangan itu sedang dibincangkan dan kita akan umumkan
tentang program-program tersebut dari semasa ke semasa.
"Cuma saya minta pihak Dr Mahathir dan lain-lain untuk umumkannya dan
kita akan bincang perkara ini dari semasa ke semasa, sama ada perlu
hadir atau membuat kenyataan secara bersama," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai sama ada pengunduran Dr Mahathir dalam
UMNO akan memberi kesan kepada parti berkenaan, Mohamad berkata,
tindakan itu bakal menjejaskan undi rakyat terhadap Barisan Nasional
(BN).
"Itu kita tidak dapat nilai kesannya dalam jangka masa singkat.
"Kita akan lihat perkembangan dalam masa terdekat, tetapi PAN yakin
sebarang pergolakan akan beri kesan kepada rakyat dan kita terus
menghasut rakyat supaya menolak kerajaan BN," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment