
PETALING JAYA : Polis telah membuka kertas siasatan berkaitan
dua anggota pasukan keselamatan itu yang didakwa membebaskan suspek kes
rogol kanak-kanak empat tahun di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong,
Sungai Buloh, Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, setakat
ini tindakan tatatertib iaitu tahan kerja serta-merta telah dikenakan
ke atas dua anggota terbabit sementara siasatan dilakukan.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati dua
anggota polis berkenaan telah menjalankan tugas dengan tidak mengikut
prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya.
“Kita akui kesilapan ini tidak sepatutnya berlaku, apabila seseorang
menyerahkan penjenayah kepada pihak polis, perlu mengambil tindakan
sewajarnya mengikut garis panduan ditetapkan, terutama melibatkan kes
rogol seperti ini.
“Jika keputusan siasatan itu nanti membuktikan mereka bersalah sehingga
menyebabkan suspek bebas, kita tidak akan teragak-agak tuduh dua anggota
terbabit di mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri
Program Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau di Hutan Pendidikan
Bukit Gasing, di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun
Keseksaan iaitu melepaskan orang tahanan, yang boleh dihukum penjara
maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit
kesalahan.
Mengenai suspek kes rogol itu, beliau berkata, pihak polis sedang giat mengesan lelaki itu yang dipercayai warga asing.
Dalam kejadian pada Khamis lalu, kanak-kanak malang itu dikatakan
dirogol suspek pada pukul 1 pagi sebelum ditangkap orang ramai.
Dua anggota polis yang menaiki kereta peronda kemudian tiba di lokasi
tersebut menahan suspek berkenaan dan membawanya ke Balai Polis Sungai
Pelong.
Bagaimanapun, dua anggota polis berkenaan dikatakan telah membuat
keputusan sendiri dengan membebaskan suspek disebabkan ibu mangsa enggan
membuat laporan polis kerana mereka adalah warga asing dan tidak
mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Abdul Samah berkata, satu laporan polis kemudian dibuat oleh seorang
doktor hospital kerajaan pada hari sama setelah memeriksa kanak-kanak
itu yang dibawa ibunya untuk menerima rawatan selepas mangsa mengadu
mengalami kesakitan pada kemaluan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment