Tuesday, April 19, 2016

Jalinan Kerjasama Erat Kerajaan Pusat Dan Negeri Pacu Pembangunan Sarawak

BETONG : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  berkata jalinan kerjasama erat antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri berjaya memacu pembanguan di Sarawak.

Beliau mengambil contoh penubuhan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sarawak Betong yang dirasmikan beliau hari ini, adalah bukti daripada kerjasama erat antara kerajaan pusat dan negeri yang memanfaatkan semua.
SRI AMAN, 17 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kiri) merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar Sarawak (RTC) Betong hari ini.     Turut kelihatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri), Menteri Perusahaan Perladangan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas (empat, kiri) dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu (tiga, kiri)      RTC Betong merupakan yang kesembilan dibuka. --fotoBERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA
Katanya menerusi inisiatif RTC ini, pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan pusat serta negeri dihimpunkan di bawah satu bumbung untuk menawarkan perkhidmatan kepada penduduk tempatan sekali gus membawa limpahan pembangunan yang pesat di kawasan berkenaan.

“Apabila kerajaan negeri dan pusat berada dalam satu keluarga (keluarga Barisan Nasional) maka, banyak kemungkinan yang sebelum ini tidak dapat kita fikirkan tetapi kini dapat dilaksanakan. 

Perjalanan kita (kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sarawak) sudah begitu jauh sekali,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian RTC Betong di Mid-Layar, dekat sini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Najib berkata sebagai ‘Apai besar’ (ketua/peneraju) Malaysia, beliau mahu melaksanakan satu lagi agenda penting untuk rakyat Sarawak iaitu meningkatkan pendapatan penduduk di negeri ini.

“Sebagai apai besar Malaysia, ada satu perkara yang belum lagi dapat saya tunaikan iaitu meletakkan Sarawak dari segi pembangunan dan pendapatan rakyat ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ seperti di Semenanjung Malaysia.Ini adalah agenda saya letakkan sebagai keutamanan,” katanya.

Sementara itu, Najib yang dalam rangka lawatan kerja ke-50 di Sarawak, sejak menjawat jawatan Perdana Menteri sekitar enam tahun lalu berkata, pembangunan harus berpaksikan kepada keadilan sosial, mengambil kira pembangunan yang seimbang di bandar dan luar bandar.

“Pembangunan tidak harus tertumpu di bandar sahaja tetapi ia mesti menular dan merangkumi luar bandar. Sebagai sebuah kerajaan prihatin, kita terhutang budi kepada masyarakat luar bandar yang sentiasa menjadi penyokong tegar dan kuat kepada kerajaan BN, berbaloi untuk kerajaan BN berbelanja untuk pembangunan di luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata RTC Betong yang terletak bersebelahan dengan Lebuhraya Pan Borneo akan memberi kemudahan kepada pengguna lebuhraya di samping memberi manfaat kepada penduduk tempatan, selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar.

“RTC ini akan mentransformasikan kawasan luar bandar supaya menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi serta mengalakkan generasi muda terus tinggal dan membangunkan kawasan luar bandar,” katanya.

Ismail Sabri berkata sehingga kini, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berjaya mewujudkan sembilan RTC di seluruh negara, iaitu RTC Perak, RTC Kelantan, RTC Pahang, RTC Johor, RTC Kedah, RTC Terengganu, RTC Melaka dan dua RTC di Sarawak.

“Dua RTC lagi iaitu di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sedang dalam pembinaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan tahun ini.

“Kementerian juga sedang mengenal pasti lokasi baharu yang berpotensi di Sabah dan Selangor untuk dibangunkan RTC,” kata Ismail Sabri.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment