Tuesday, April 19, 2016
Program Mesra Siswa Perdana 2016 Parlimen Ketereh Capai Sasaran
KETEREH : Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa
berkata, program Mesra Siswa Perdana 2016 yang dianjurkan oleh Pusat
Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Parlimen Ketereh (KHADAM) yang
diadakan selama lima hari dan bakal berakhir esok ternyata mencapai
sasarannya.
Ujarnya, Parlimen Ketereh dikenali sebagai pusat koridor ilmu dan
kerana itu beliau mahu memberikan pendedahan kepada penduduk luar bandar
bahawa betapa pentingnya pendidikan.
“Program yang diadakan buat kali kedua ini lebih mesra rakyat… kita
mahu rakyat luar bandar dapat memahami apakah yang cuba disampaikan dan
sedar betapa pentingnya pendidikan demi masa hadapan.
“Saya amat berpuas hati dengan perjalanan program ini dan amat
berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakannya,” katanya kepada
media di sini.
Tambah beliau yang juga merupakan Pengerusi MARA merangkap Pengerusi
Yayasan Pelajaran MARA (YPM), program yang diadakan di beberapa lokasi
sekitar Parlimen Ketereh ini bukan sahaja melibatkan mahasiswa daripada
20 universiti tetapi juga melibatkan agensi kerajaan dan penduduk
kampung.
Secara tidak langsung jelasnya, beliau dapat melihat dengan lebih
jelas bagaimana Jawatankuasa Kampung bergerak mendekati rakyat.
“Bukan sahaja saya dapat melihat jawatankuasa kampung menjalankan
tugas malah saya dapat mendekati pengundi saya dengan lebih baik tanpa
ada jurang. Malah mahasiswa juga dapat saya dekati dan mendalami apakah
kehendak mereka sebenarnya.
“Kita sedar, bila kita ada pangkat maka akan wujudnya jurang terutama
di kalangan anak muda yang tidak suka sekiranya pemimpin mereka terlalu
sukar untuk didekati. Oleh itu melalui program ini ia mencapai sasaran
serampang dua mata,” jelasnya lagi.
Antara program yang dijalankan sepanjang berlangsungnya program ini
adalah Karnival Pendidikan dan Keusahawanan, gotong-royong, bengkel seni
budaya, program ziarah kasih, seminar keibubapaan, forum perdana,
program motivasi, pemeriksaan kesihatan dan sukan rakyat.
Selain itu, turut diadakan gerai pameran beberapa agensi kerajaan
untuk pelbagai aktiviti dan khidmat nasihat kepada orang ramai. Gerai
jualan daripada usahawan tempatan dan MARA juga dibuka kepada
pengunjung.
Pasukan Jelajah Pendidikan Bumiputera turut membuka kaunter untuk
pelajar lepasan sekolah yang tidak dapat menyambung pelajaran bagi
program pra diploma melalui institusi tempatan yang sedia bekerjasama
bagi membantu mereka.
Majlis penutup program yang bakal berakhir esok ini akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment