Betul-betul low profile...Datuk Dr. Noordin Ahmad, yang menjadi Ketua
Eksekutif FC Bari 1908 selepas membeli 50 peratus saham kelab tersebut
baru-baru ini, masih lagi diselubungi misteri sehingga mencetuskan
perbagai persoalan dan persepsi oleh penyokong kelab dari selatan Itali
itu.
Menurut portal berita Bari Repubblica, Duta Itali di Kuala Lumpur, Mario
Sammartino memberitahu, tiada kerajaan dari Asia Tenggara yang berminat
untuk melabur di Apulia.
Malah, rakan kongsi baharu Presiden Bari, Gianluca Paparesta itu juga
enggan membuka mulut ketika diminta bercakap mengenai syarikatnya.
“Noordin tidak datang ke kedutaan (Malaysia di Itali) untuk memberitahu
tujuannya ke sini dan saya tidak tahu. Jika tidak, mungkin saya boleh
bertemunya dalam mana-mana majlis rasmi.
“Pelaburan Malaysia yang paling penting di Itali bermula sejak beberapa
tahun yang lalu melibatkan pengambilalihan Selenia (produk minyak
pelincir dan minyak enjin) dari kumpulan Petronas.
“Buat masa ini, saya tidak pula tahu apa-apa tentang pelaburan yang dirancang oleh Malaysia di Itali,” katanya.
Noordin, dalam sidang akhbarnya selepas memetrai perjanjian pembelian
saham tersebut, mendedahkan perancangannya untuk menubuhkan akademi bola
sepak Bari di Malaysia, seterusnya memberi peluang kepada bakat muda di
negara ini untuk menjadi pemain profesional.
Bari kini berada di tempat ketiga Serie B dengan 60 mata selepas 36
perlawanan, berada di laluan yang betul untuk mara ke playoff bagi
membolehkannya ke Serie A musim depan.
Kelab itu paling diingati apabila mereka mencipta rekod pembelian
termahal ke atas pemain dari Britain apabila membeli bintang tengah
England, David Platt dengan harga 5.5 juta pound (RM24.1 juta) daripada
Aston Villa pada 1991.
Portal-portal berita Itali melaporkan ahli perniagaan dari Malaysia itu
menjadi pemegang saham majoriti Bari selepas membeli 50 peratus saham
dengan nilai 12 juta euro (RM52.59 juta) daripada Paparesta, yang
sebelumnya adalah pemilik 95 peratus kepentingan kelab. Baki lima
peratus saham adalah milik Cosmos Giancaspro.
Akhbar melaporkan rakan baik Noordin iaitu Presiden Persatuan
Bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berkata ahli perniagaan itu
dijangka kembali ke tanah air tidak lama lagi dan mereka berdua akan
mendedahkan ‘perancangan besar’ antara mereka kepada pihak media.
Noordin, berumur 59 tahun dan berasal dari Manjung, Perak, merupakan sahabat Annuar.
“Kami rakan sejak 1972. Kami rakan sekelas di Maktab Tentera Diraja dan bermain ragbi bersama,” kata ahli parlimen Ketereh itu.
Menurut Annuar, Noordin mempunyai pengalaman luas dalam industri minyak
dan gas, pendidikan, penerbangan dan penstrukturan semula korporat
selama 33 tahun.
Beliau juga mendedahkan bahawa mereka berdua mempunyai rancangan besar susulan persetujuan dengan FC Bari.
“Sebelum beliau membuat keputusan membeli kelab itu, beliau memang ada
berbincang. Tapi soal rancangan yang bakal dilakukan selepas ini, tunggu
pengumuman rasmi,” katanya."tambahnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment