Sunday, December 13, 2009

Nazri Aziz, Tun Dr Mahathir & Akhbar The STAR



Tindakan Datuk Nazri Aziz melabelkan Tun Dr. Mahathir sebagai “bloody racist” kerana mempertahankan kursus Biro Tata Negara (BTN) amat tidak wajar dan menunjukkan bahawa sesetengah Menteri kita sudah hilang sifat manusia yang budiman.

Nazri boleh sahaja menyanggah dalam bahasa yang lembut, namun beliau memilih bahasa yang kasar dan keras kepada seorang bekas Perdana Menteri. Memang itupun sikap nazri sejak dahulu - keras, berterus terang dan semberono.

Suatu ketika dahulu beliau memaksa Tan Sri Rahim Tamby Chik lepaskan jawatan Ketua Pemuda UMNO kerana tuduhan skandal seks. Ketika itu ramai melihat Nazri yang merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia ada kepentingan meminta ketuanya lepaskan jawatan.

Rahim mengambil keputusan bercuti dari jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Apabila Rahim dibebaskan daripada skandal tersebut, ketika ramai di dalam UMNO menyatakan Nazri wajar terus memangku jawatan Ketua Pemuda, beliau melepaskan dan meminta agar Rahim kembali memegangnya.

Nazri bukan satu figuratif politik yang mudah difahami. Namun dalam banyak hal beliau boleh bersifat demokrat yang kadang-kadang tidak menguntungkan parti. Beliau juga mempunyai sikap kepimpinan yang keras dan bersifat panglima. Jika beliau memimpin satu batalion beliau akan ke hadapan dalam peperangan.

Namun sejak zaman Datuk Seri Abdullah dan sekarang ini zaman Datuk Seri Najib, Nazri bersifat egoistik yang bukan cerminan sikap beliau suatu ketika dahulu.

Mengapa Nazri perlu berperang dengan Tun Mahathir secara kasar masih merupakan satu tanda tanya. Malah memilih untuk menghentam Tun Mahathir dalam isu-isu remeh- temeh seperti BTN menimbulkan satu persoalan besar.

Nazri bukan seorang ahli politik cabuk atau blogger hantu yang berkeliaran di siber. Beliau adalah seorang menteri yang sudah tentu perlu menjaga tingkah laku dan tutur bicara sesuai dengan kedudukannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan beliau memerlukan semua pihak sama ada penyokong Tun Abdullah dan Tun Mahathir bersama beliau memulihkan parti dan negara. Beliau mahu semua fraksi dan penyokong tokoh-tokoh politik dalam BN menjadi penyokong Barisan Nasional.

Justeru kenyataan Nazri sangat bertentangan dengan semangat dan falsafah pentadbiran politik Datuki Seri Najib.

Salahkah jika Nazri hanya menyatakan bahawa kursus BTN perlu dirombak kerana terdapat keperluan semasa untuk melakukannya?

Bukan Tun mahathir sahaja mempoertahankan BTN. Ramai lagi termasuk Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Apakah mereka ini juga semuanya rasis?

Mengapa Nazri memilih untuk menghentam Tun Mahathir bukannya Tan Sri Muhyiddin atau Datuk Noh Omar, Datuk Ahmad Maslan dan ramai lagi anggota kabinet lain yang mempertahankan BTN?

Apakah Nazri mempunyai agenda tertentu untuk melemahkan UMNO dan Barisan Nasional?

Lebih serius ialah Nazri selama ini dilihat oleh pemerhati politik sebagai mereka yang rapat dengan Datuk Seri Najib. Kita khuatir tindakan ini akan mewujudkan krisis dalaman UMNO lagi yang akhirnya hanya menguntungkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kita juga perlu mempersoalkan sikap The Star yang begitu berusaha untuk memburukkan kepimpinan UMNO sejak setahun kebelakangan ini. Kita dapat lihat The Star terlebih gahirah membesarkan pertikaian Tun Mahathir dengan Pak Lah. Kemudiannya akhbar ini juga begitu ghairah menyiarkan kenyataan-kenyataan berunsur manipulasi bagi menjatuhkan imej dan kredebiliti pemimpin UMNO di Selangor dan Pulau Pinang.

The Star juga memberi liputan yang begitu besar kepada isu Penyiasat pembohong Balasubramaniam dan kenyataan-kenyataan Anwar Ibrahim serta Khalid Ibrahim yang menghentam kepimpinan Perdana Menteri.

Baru-baru ini bekas Menteri Besar Selangor, Dato Seri Dr. Mohamad Khir Toyo telah menghantar notis saman kepada akhbar tersebut setelah akhbar tersebut enggan membetulkan fakta yang salah mengenainya.

Bulan lalu The Star melaporkan "Former Taman Aman Umno branch secretary Hamdan Ahadluddin, 49, was jailed 10 years and ordered to be whipped six times after he was found guilty of raping the teenager at her home in Lembah Subang on Jan 21, 2005."

Apa nilai berita mengaitkan seorang perogol dengan bekas jawatannya kecuali kerja terancang The Star untuk turut memburukkan UMNO.

Apa motif The Star yang dikawal oleh Ong Tee Keat begitu ghairah memburukkan kempimpinan UMNO?

Jika The Star memang kita tahu ada agenda tersendiri dari segi politik dan kaum, kita belum berjumpa agenda Datuk Nazri.

Cuma soalan yang boleh kita lontarkan di sini ialah, Perlukah Datuk Nazri melontarkan kata-kata tersebut sedangkan Tun hanya mengulas sekali lalu sahaja isu BTN ini?
.
.
.
Disediakan oleh : EDITOR

No comments:

Post a Comment