Sunday, June 24, 2012

Cerita Lynas dan Orang PAS Kuantan


June 22, 2012
fuziah

Baru-baru ini saya berpeluang ke Kuantan untuk mengikuti satu kursus yang diadakan di sana. Kebetulan, kehadiran saya yang dikenali rakan-rakan sebagai penganalisis politik diketahui oleh beberapa rakan PAS yang berada di sana.

Saya diajak bertemu dan berbual mengenai isu yang agak panas di sana. Apa lagi kalau bukan isu “Lynas”. Menurut mereka, mereka ada “rahsia” mengenainya…

Rupa-rupanya, mereka adalah “musuh” kepada Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh…

Marah sungguh mereka pada Ahli Parlimen Kuantan itu. Menurut mereka, kenyataan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat, sangat benar dan kilang Lynas itu sebenarnya selamat untuk beroperasi di Kuantan.

Saya agak terkejut dengan kenyataan mereka dan saya mempersoalkan apakah mereka merupakan penyokong UMNO? Pertikaian saya mengenai sokongan mereka kepada UMNO itu dinafikan sekeras-kerasnya.

Menurut mereka, isu Lynas itu sebenarnya tiada hubung kait dengan politik. Cuma ia sengaja dipolitikkan oleh PKR di Kuantan bagi memenuhi permintaan dan menjaga kepentingan sekutu yang mereka benci iaitu DAP.

Mereka mendakwa bahawa mereka mendapat maklumat bahawa produk yang dikeluarkan oleh kilang Lynas di Gebeng itu akan merencatkan urusniaga import barangan dari China yang dikatakan bergantung kepada sumber nadir bumi.

Antara yang produk import yang dikatakan bakal terjejas ialah pengeluaran barangan elektronik, mikrocip dan beberapa produk lain yang membabitkan sumber tersebut.

Saya difahamkan bahawa China merupakan antara pengeksport terbesar sumber berkenaan dan sekiranya Lynas membuka kilang nadir bumi di Malaysia, ia akan menjejaskan jumlah eksport negara asal puak-puak DAP itu.

Kata mereka, memang benar , Dr. Che Rosli ada datang ke Kuantan untuk memeriksa dan menilai sendiri tahap kilang tersebut dan ia memang selamat memandangkan kilang tersebut dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang amat tinggi.

Memandangkan kepada kenyataan Dr. Che Rosli di Parlimen baru-baru ini menjadi bahan untuk membuktikan kebenaran isu tersebut memihak kepada BN, rakan-rakan PAS itu risau sekiranya PAS akan kekurangan seorang lagi pemimpin mereka.

Mereka tidak mahu Dr. Che Rosli senasib dengan Dr. Hasan Ali. Kalau Hasan Ali dipecat kerana PAS menjaga kepentingan PKR, mereka tidak mahu Ahli Parlimen Hulu Langat itu pula dipecat kerana DAP.

Saya bertanya mereka, kenapa mereka benci sangat dengan DAP?

Selamba mereka menjawab bahawa DAP merupakan sebuah parti yang paling mereka benci seumur hidup. Mereka lebih benci pada DAP berbanding UMNO. Dan memandangkan PKR juga dilihat condong kepada DAP, mereka turut membenci parti itu.

Namun pada mereka, para penyokong PAS tidak punya pilihan selain bersekutu dengan DAP dan PKR memandangkan ia telah diputuskan oleh Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat, meskipun pandangan Menteri Besar Kelantan itu dibantah ramai penyokong PAS.

Mereka memberitahu bahawa ramai golongan pro-ulama PAS yang marah keputusan kepimpinan parti itu untuk bersekutu dengan DAP dan PKR. Tapi apakan daya, mereka terpaksa wala’ terhadap pimpinan PAS memandangkan mereka sudah berbai’ah kepada parti.

Alasan itu menyebabkan saya terkedu dan bertanya, “kalau Tok Guru suruh fitnah UMNO, antum semua buatlah”?

Selamba mereka berkata, “kena buatlah…macam tu lah perang politik!”. Sekali lagi saya geleng-gelengkan kepala. Dalam hati saya berkata, “lantak hang la labu…”.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment