1 Februari 2013
Majlis Syura Ulama PAS pernah diumpamakan sebagai Al-Quran buruk oleh Datuk 
Mohamed Daud Iraqi, salah seorang ahli Majlis tersebut sendiri. Sebuah Al-Quran 
buruk yang sudah kabur tulisannya tetap tidak mungkin dibuang, dan tetap akan 
diletakkan di tempat yang tinggi.
Namun, di mata DAP dan PKR, Majlis Syura Ulama PAS adalah umpama kain buruk 
sahaja yang digunakan untuk mengelap segala najis dan lumpur yang disepahkan 
oleh pemimpin PAS. Akibatnya, najis dan lumpur tidak lagi kelihatan tetapi 
kumannya masih terus bersarang dan merebak ke tempat lain yang dilap dengan kain 
buruk tersebut.
PAS juga nampaknya menerima sahaja kedudukan Majlis Syuranya sebagai sesuatu 
yang hidup tidak membawa makna, mati tidak boleh pula kerana ia menjadi tonggak 
kepada nama ‘Islam’ yang ada pada parti PAS. Tanpa Majlis Syura, Islam PAS hanya 
tinggal pada jubah dan serban semata-mata.
Bukan sahaja DAP dan PKR sahaja yang ‘mengabaikan’ Majlis Syura tetapi, 
Pengerusinya sendiri, iaitu Nik Aziz turut melihat Majlis Syura sebagai tidak 
lebih dari simbol semata-mata. Kerana itu, Nik Aziz dilaporkan membuat kenyataan 
di dalam akhbar The Star yang berkata bahawa pemecatan Nashruddin dari Majlis 
Syura bermakna pemecatan dari PAS. Atau dalam kata lain, Majlis Syura adalah 
kambing hitam penyamaran bagi mengelak penyokong-penyokong PAS mencurigai 
tindakan pemecatan tersebut.
Hakikatnya, Nik Aziz telah dengan terus terang mengabaikan Majlis Syura dan 
membuat keputusan berdasarkan emosinya sendiri atas kapasiti Pengerusi Majlis 
dan juga Mursyidul Am parti. Menurut Nik Aziz, talak telah pun jatuh oleh itu, 
Nasha dan PAS tidak lagi boleh dianggap ada hubungan.
Dalam kenyataan media Nik Aziz berkata :
Pengguguran keanggotaan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa 
daripada Majlis Syura Ulama adalah sama seperti beliau dipecat daripada parti, 
kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 
Nik Aziz berkata, Nasharuddin tidak perlu menunggu surat daripada parti 
mengenai status keahliannya kerana pemecatan beliau daripada Majlis Syura secara 
automatik bermaksud dia bukan lagi ahli PAS. 
“Adalah tidak penting sama ada dia menerima surat daripada Majlis Syura 
memaklumkan beliau sudah dipecat atau menunggu jawapan mengenai status 
keahliannya. Hakikatnya tetap teguh bahawa Lafaz Cerai telah dibuat dan beliau 
bukan lagi ahli parti,” katanya kepada pemberita di sini, 
Khamis. 
Kita amat memahami sifat Nik Aziz yang merupakan seorang pendendam.
Dan lebih malang bagi Nasharuddin ialah apabila Hadi Awang pula seorang yang 
suka menghina orang lain. Memberi respon dalam isu ini, Hadi Awang telah 
menyifatkan Nasharuddin sebagai ahli biasa sahaja dan tidak ada signifikannya 
jika beliau mengiringi Perdana Menteri ke Gaza. Oleh itu, pemecatan Nashruddin 
dikatakan kerana beliau jarang menghadiri Majlis Syura dan bukan kerana bersama 
dengan PM di Gaza.
Namun, jika itulah alasannya, maka ramai lagi yang jarang menghadiri Majlis 
Syura malah hampir tidak pernah iaitu Datuk Mohamed Daud Iraqi dan Nik Aziz 
sendiri. Kenapa Nik Aziz tak pecat diri sendiri bagi menunjukkan kepimpinan 
Islam tulen yang adil lagi saksama?
Bukan itu sahaja, malah pemecatan Nasharuddin itu sendiri tidak menepati cara 
Islam. Pertuduhan telah dibuat tanpa kehadirannya, dan keputusan juga dibuat 
tanpa pengetahuannya serta hukuman pula dibuat tanpa memberinya peluang membela 
diri.
Sedangkan pembangkang merupakan pihak yang kuat menghentam Akta ISA atas 
alasan tidak memberi peluang tertuduh membela diri yang mana membelakangi cara 
Islam.
Justeru, apakah hukumnya bagi Majlis Syura untuk membelakangkan soal 
menghukum cara Islam? Siapakah pula yang berhak menghukum Majlis Syura?
Apapun, yang jelas di sini ialah kedudukan Majlis Syura yang tidak ada makna. 
Majlis Syura boleh membuat keputusan, tetapi ia tetap merupakan keputusan PAS 
sepertimana yang dijelaskan oleh Nik Aziz. Manakala, PAS pula boleh membuat 
keputusan atas apa saja, tetapi keputusan muktamad tetap berada di tangan 
DAP.
Maka, apa gunanya lagi Majlis Syura? Bukankah lebih baik ianya dibubar 
saja?
Majlis Syura bukan seperti Al-Quran buruk kerana Al-Quran buruk masih lagi 
punya nilai. Tetapi Majlis Syura lebih layak dianggap sebagai kain buruk, kerana 
langsung tidak bernilai, bukan sahaja di mata PKR dan DAP, tetapi juga di mata 
Nik Aziz sendiri.
Dipetik daripada : www. mykmu. net
 
No comments:
Post a Comment