Wednesday, February 06, 2013
PKNS Akan Hilang Lebih Banyak Aset??
Pemindahan lima aset komersial dari Perbadanan kemajuan negeri Selangor 
(PKNS) kepada anak syarikat perbadanan tersebut membuka peluang kepada risiko 
aset-aset tersebut terjual dengan sebegitu mudah.
Ramai yang tidak sedar bahwa anak-anak syarikat dibawah PKNS tidak mempunyai 
elemen yang sama seperti PKNS. Tidak seperti PKNS yang merupakan sebuah badan 
yang berhubung terus dengan pentadbiran kerajaan negeri, anak-anak syarikat PKNS 
tidak berkongsi ikatan yang sama sepertimana perbadanan itu dengan kerajaan 
negeri. 
Kini, dengan niat untuk menambahkan keuntungan kepada kerajaan negeri, 
pihak-pihak tertentu di dalam PKNS ingin menukar hak milik beberapa aset utama 
kepada sebuah anak syarikat yang bernama Private Real Estate Company atau PREC. 
Anak syarikat ini akan memiliki aset-aset seperti SACC Mall, PKNS Shah Alam, 
PKNS Bangi, sebuah bangunan di Petaling Jaya dan Wisma Yakin. 
Sebagai sebuah syarikat yang bersifat hak milik penuh PREC berkemungkinan 
boleh dijual beli dan ini membuka ruang yang luas untuk kerajaan negeri 
kehilangan segala aset yang dimilikinya. Mungkin kerajaan negeri telah terlupa 
bahawa harta dan aset yang mereka gadaikan itu bukanlah hak milik individu 
ataupun mana-mana parti politik kerana ianya adalah milik rakyat negeri 
Selangor. 
Namun apa yang pasti daripada tindakan kerajaan negeri ini ialah, kadar sewa 
yang akan naik berganda-ganda disebabkan penyelengaraan dilakukan oleh sebuah 
institusi korporat dan hanya berpaksikan keuntungan. 
Kerajaan negeri Selangor nampaknya terlupa bahawa tujuan PKNS diwujudkan 
bukanlah untuk mengaut keuntungan semata-mata. Perbadanan tersebut diwujudkan 
semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional adalah bertujuan untuk 
melestarikan rakyat Selangor dan memberikan peluang kepada mereka untuk 
berniaga. 
Apakah dengan menswastakan PKNS secara penuh akan memberikan keuntungan 
kepada rakyat Negeri Selangor atau ianya hanya satu strategi untuk menguntungkan 
sesetengah pihak? Isu panas berkenaan Talam Corporation (atau sekarang dikenali 
sebagai Triniti Corporation) masih belum diselesaikan timbul pula isu pemberian 
aset-aset PKNS kepada sebuah syarikat yang tidak tahu dari mana asal usul 
mereka. 
Ada ura-ura yang menyatakan bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim dan para kroni 
beliau telah sedar bahawa mereka tidak akan berpejabat di SUK lagi selepas 
PRU-13 nanti. Cabaran utama beliau kini adalah untuk memastikan segala hasil 
bumi Selangor tidak terlepas dari tangan mereka. Boleh dikatakan 100% aset yang 
ada di negeri Selangor pada masa kini adalah hasil dari pemerkasaan ekonomi 
rakyat yang telah di usahakan oleh kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu. 
Adalah satu kerugian yang besar sekiranya hasil usaha untuk rakyat ini 
dilepaskan kepada segerombolan manusia yang hidup mereka berpaksikan kepentingan 
peribadi dan bukannya pembangunan rakyat.
Tan Sri Khalid Ibrahim dan para pengikutnya harus dihalang dari terus 
menggadaikan harta kerajaan negeri. Sungguhpun beliau dikatakan seorang peniaga 
yang hebat suatu masa dahulu, sebagai seorang pemimpin negeri, beliau tidak lagi 
boleh berfikiran sedemikian. Beliau haruslah sedar, negeri Selangor bukanlah 
sebuah syarikat untuk beliau terus mengaut untung peribadi. 
Dipetik daripada : www. mykmu. net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment