Wednesday, March 23, 2016

Meroyan Tak Tentu Pasal.... Pembangkang Gesa KM Sarawak Tarik Balik Larangan Masuk Sarawak

KUALA LUMPUR : Parti Amanah Negara (PAN) kesal dengan tindakan kerajaan negeri Sarawak yang mengenakan larangan kemasukan terhadap Presidennya, Mohamad Sabu untuk berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Naib Presiden PAN, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa meminta larangan terhadap pemimpin pembangkang yang turun ke negeri itu ditarik segera.

"Ia merupakan tragedi malang apabila seorang rakyat Malaysia, yang juga Presiden PAN disekat pergerakannya, meskipun disebut tentang hak, visa dan kuasa autonomi.

"Sedangkan sebagai seorang rakyat Malaysia, melalui Artikel 9 menyentuh tentang hak dan kebebasan rakyat Malaysia untuk bergerak.

"Jadi saya meminta Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Adenan Satem yang difahamkan seorang yang terbuka, namun malangnya beliau memulakan pencemaran yang memalukan dan menafikan hak demokrasi seseorang itu untuk bergerak," katanya di sidang media bersama pimpinan Pakatan Harapan di Lobi Dewan Rakyat, pagi tadi.

Terdahulu Presiden PAN, Mohamad Sabu dilarang memasuki Sarawak pada pagi tadi, sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Sibu.

Mohamad, atau dikenali sebagai Mat Sabu mendakwa tidak diberikan sebarang sebab disebalik larangan tersebut, namun ia dikatakan dikeluarkan atas arahan pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Beliau dan pegawainya yang tiba di Sarawak sempena kempen pilihan raya negeri ditahan semasa melalui pemeriksaan imigresen.

Sebelum ini beberapa pemimpin pembangkang juga dilaporkan disekat untuk memasuki negeri itu atas pelbagai alasan, antaranya Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, anggota Parlimen Subang R Sivarasa, anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment